KIM Yo Jong. FOTO AFP
KIM Yo Jong. FOTO AFP
AFP

Seoul: Kim Yo Jong, adik perempuan kepada pemimpin Korea Utara Kim Jong Un menyelar Amerika Syarikat (AS) dan Korea Selatan.

Ia ketika Setiausaha Negara AS Antony Blinken dan Setiausaha Pertahanan AS Lloyd Austin memulakan lawatan ke Tokyo dan Seoul.

Berdasarkan laporan akhbar rasmi Korea Utara, Rodong Sinmun, Yo Jong memberi 'nasihat kepada AS'.

"Jika anda mahu tidur lena untuk tempoh empat tahun berikutnya, adalah lebih baik untuk tidak memulakan apa-apa yang boleh menyebabkan anda tidak dapat tidur," katanya di dalam akhbar itu.

Menjelang pelantikan Joe Biden sebagai Presiden AS pada Januari lalu, Jong Un mengumumkan secara terbuka bahawa AS adalah musuh utama negara itu.

Selain itu, Korea Utara bertindak mempamerkan peluru berpandu balistik pada acara perarakan ketenteraan.

Rundingan antara Korea Utara dan AS sebelum ini tergendala sejak sidang kemuncak dihadiri Jong Un dan presiden AS sebelum ini, Donald Trump di Hanoi, pada Februari 2019.

Yo Jong adalah penasihat kepada Jong Un dan dilihat amat lantang bersuara ketika ketegangan hubungan antara Korea Utara dan Korea Selatan, pada tahun lalu.

Ia menyaksikan Korea Utara meletupkan pejabat hubungan kedua negara di dalam kawasan negaranya.

Seoul adalah sekutu kepada Washington, dengan AS menempatkan kira-kira 28,500 askar di Korea Selatan.

Selain itu, kedua negara menjalankan latihan ketenteraan bersama menggunakan simulasi komputer minggu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Mac 2021 @ 10:09 AM