PENUNJUK perasaan membantah rampasan kuasa, di Yangon. FOTO AFP
PENUNJUK perasaan membantah rampasan kuasa, di Yangon. FOTO AFP
AFP

Yangon: Enam petugas media didakwa di mahkamah berhubung liputan demonstrasi membantah rampasan kuasa tentera Myanmar.

Ia membabitkan seorang jurugambar Associated Press (AP) dan lima wartawan lain, menurut peguam kepada individu berkenaan.

Jurugambar AP, Thein Zaw, 32, ditahan pada Sabtu ketika membuat liputan di hab komersial di Yangon.

Lima yang lain adalah wartawan daripada Myanmar Now, Myanmar Photo Agency, 7Day News, Zee Kwet Online news dan pemberita sambilan, menurut AP.

Menurut peguam, keenam-enam petugas media itu didakwa kerana 'menimbulkan ketakutan, menyebarkan berita palsu dan mengganggu secara langsung atau tidak langsung kakitangan kerajaan'.

Sekurang-kurangnya 738 orang terbunuh dan 3,300 lagi dipenjara sebagai tahanan politik, menurut kumpulan pemantau tempatan. FOTO AFP
Sekurang-kurangnya 738 orang terbunuh dan 3,300 lagi dipenjara sebagai tahanan politik, menurut kumpulan pemantau tempatan. FOTO AFP

Junta tentera Myanmar meminda undang-undang berkaitan pada bulan lalu yang menyaksikan hukuman penjara dinaikkan daripada dua tahun kepada tiga tahun.

Ketika ini, keenam-enam petugas media itu ditahan di penjara Insein.

Huru-hara tercetus di seluruh Myanmar sejak tentera merampas kuasa selepas menahan Kaunselor Negara Aung San Suu Kyi dan Presiden Myanmar Win Myint.

Ia selepas tentera Myanmar menuduh berlaku penipuan dalam pilihan raya umum November lalu, yang menyaksikan parti pemerintah (NLD) pimpinan Suu Kyi menang besar.

Susulan itu, demonstrasi besar-besaran diadakan di Myanmar sebagai membantah rampasan kuasa berkenaan.

Setakat ini, sekurang-kurangnya 18 orang sudah meninggal dunia akibat demonstrasi berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Mac 2021 @ 2:33 PM