AFP

Seoul: Seorang rakyat Korea Utara yang melarikan diri dari negara itu ditahan tentera Korea Selatan ketika tertidur akibat keletihan selepas berjaya menyeberang sempadan.

Lelaki berusia 20-an itu dikatakan memakai sut penyelam untuk berenang selama enam jam, melepasi Zon Bebas Tentera, sebelum tiba di bandar Goseong, Korea Selatan.

Kejadian itu menyebabkan tentera dikritik kerana tidak dapat mengesan individu berkenaan meskipun imejnya dapat dilihat menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV), beberapa kali.

"Dia dipercayai berenang selama enam jam, memakai jaket tebal di dalam sut penyelam dipakainya dan menggunakan fin.

"Ia menyebabkan lelaki itu dapat terapung di laut dan memberikannya kehangatan," kata jurucakap tentera kepada agensi berita Yonhap.

Lelaki itu bernasib baik kerana dibantu oleh arus laut.

Dia menanggalkan kelengkapan itu sebelum memasuki saliran air di bawah pagar kawat di kawasan pantai berkenaan.

Imejnya dirakam CCTV sebanyak lapan kali, sebelum penggera berbunyi sebanyak dua kali, tetapi pengawal sempadan Korea Selatan masih tidak dapat mengesannya.

Selepas gerakan mencari dilancarkan, pihak berkuasa menemui lelaki itu ketika dia tertidur di bawah sebuah pokok.

Ketika ditahan, lelaki itu mengaku melarikan diri dari Korea Utara.

Lebih 30,000 penduduk Korea Utara melarikan diri ke Korea Selatan dalam tempoh beberapa dekad lalu.

Bagaimanapun, angka itu menurun kepada hanya 229 orang pada tahun lalu selepas Pyongyang memperketat kawalan sempadan bagi mengekang penularan Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Februari 2021 @ 4:08 PM