Penduduk setempat bergembira dengan turunnya salji di kawasan kediaman mereka. FOTO Agensi
Penduduk setempat bergembira dengan turunnya salji di kawasan kediaman mereka. FOTO Agensi
Agensi

Tabuk: Hujan salji di Arab Saudi membuatkan Pergunungan Tabuk dipenuhi ais dan menggemparkan penduduk kawasan berkenaan.

Salji dilaporkan mula turun memenuhi kawasan berkenaan pagi semalam.

Arab News hari ini melaporkan, penduduk setempat bergembira menyambut hujan salji berkenaan yang dianggap fenomena luar biasa bagi mereka.

Malah, portal berita itu turut berkongsi video amatur yang memaparkan penduduk setempat bergembira menyambut turunnya salji berkenaan.

Di dalam video itu juga terlihat deretan unta yang sedang tidur dan badannya dilitupi salji.

Salji dilaporkan menutupi tiga puncak Pergunungan di Tabuk, Jabal Ala, Jabal Al-Lawz dan Jabal Ad-Daher.

Hujan salji di kawasan pergunungan Tabuk kebiasaannya menarik minat pelancong tempatan bagaimanapun pandemik Covid-19 yang masih mengganas dipercayai akan mengurangkan jumlah mereka yang melawat kawasan itu.

Dalam perkembangan berkaitan, pakar cuaca menjangkakan suhu di kawasan utara Arab Saudi kemungkinan akan jauh lebih dingin.

Antara kawasan lain yang dijangka mengalami suhu sejuk ekstrem seperti di Riyadh, Makkah, Madinah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Februari 2021 @ 10:12 AM