GAMBAR hiasan. FOTO AFP
GAMBAR hiasan. FOTO AFP
AFP

Taipei: Sepasang kekasih warga Singapura yang sengaja membuang bayi baru dilahirkan ke dalam tong sampah ketika melawat Taiwan dua tahun lalu kini diletakkan dalam senarai paling dikehendaki atas kesalahan membunuh.

Pasangan berkenaan dipercayai meninggalkan bayi perempuan yang masih bertali pusat dan uri dalam tong kitar semula pada Februari 2019.

Pekerja syarikat kitar semula itu kemudian menjumpai mayat bayi berkenaan dibungkus dalam plastik sampah.

Pendakwaraya memaklumkan AFP bahawa, Li Heng Xun, 25, dan Evon Yee, 26, kini dikehendaki atas dakwaan bunuh dan berdepan pertuduhan pengabaian.

Namun, Taiwan berdepan beberapa kesukaran untuk membuat permintaan ekstradisi kerana kebanyakan negara tidak menganggapnya sebagai negara berdaulat, khususnya negara yang mempunyai hubungan rapat dengan China.

Pada Rabu, akhbar Apple Daily di Taiwan melaporkan bahawa pihak berkuasa Singapura enggan memenuhi permintaan yang dibuat beberapa kali dalam mendapatkan sampel DNA pasangan berkenaan atas alasan 'sukar dibuat akibat pandemik Covid-19'.

Bagaimanapun, pendakwaraya enggan memberi komen mengenai laporan itu.

Media Taiwan melaporkan bahawa pasangan Singapura itu dipercayai tiba di Taiwan tujuh hari sebelum kejadian.

Mereka juga didapati pulang semula ke Singapura pada hari sama selepas insiden itu.

Media tempatan telah menyiarkan rakaman CCTV seorang lelaki membawa beg plastik hitam berjalan di lorong dan seorang wanita hamil di kedai serbaneka, yang dikenalpasti sebagai pasangan warga Singapura itu.

Polis dilaporkan menemui kesan darah di bilik mandi bilik hotel mereka yang sepadan dengan bayi berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Februari 2021 @ 6:51 PM