Agensi

New Delhi: Sekurang-kurangnya 200 orang hilang di utara India selepas dihanyutkan banjir berpunca daripada glasier yang pecah dan menghentam dua empangan menyebabkan air sungai melimpah.

Media tempatan melaporkan, jurucakap polis, Surjeet Singh berkata, sembilan mayat sudah ditemukan dan operasi kecemasan dilancarkan bagi menyelamatkan 17 individu yang terperangkap di dalam terowong.

Sebahagian daripada glasier Nanda Devi di Tapovan, Uttarkhand pecah pagi semalam dan merosakkan loji janakuasa Rishiganga dan Dhauliganga serta kawasan perumahan berhampiran.

Pihak berkuasa mencari mangsa yang terperangkap di loji janakuasa Dhauliganga. FOTO Agensi
Pihak berkuasa mencari mangsa yang terperangkap di loji janakuasa Dhauliganga. FOTO Agensi

Rakaman video insiden berkenaan menunjukkan air deras memusnahkan segala yang berada di laluannya di lembah Sungai Dhauliganga.

"Penuh debu di udara selepas air melintasinya. Tanah bergegar seperti gempa bumi," kata seorang penduduk tempatan, Om Agarwal kepada stesen televisyen India.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Februari 2021 @ 10:56 AM