FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Agensi

New Delhi: Seorang remaja di India menempuh episod paling hitam dalam hidupnya apabila diculik dan dirogol berkali-kali oleh tiga lelaki, selama lapan hari.

Times of India melaporkan, mangsa berusia 13 tahun dan anak tunggal membuat pengakuan berkenaan selepas diselamatkan oleh ahli keluarganya.

Mangsa yang berada di hospital bagi mendapatkan rawatan memberitahu pemberita, kejadian itu berlaku pada 15 Januari lalu di Mainpuri, di Uttar Pradesh.

"Kejadian itu berlalu ketika saya keluar rumah pada awal pagi dan tiga lelaki terbabit yang mana mereka memaksa saya masuk ke dalam kenderaan.

"Mereka bergilir-gilir menyerang saya (secara seksual) selama lapan hari dan mengancam nyawa saya jika memaklumkan perkara itu kepada orang lain," katanya.

Selepas diselamatkan, mangsa diiringi oleh ibu bapanya pergi ke balai polis Auncha, pada Khamis lalu.

Tiga suspek yang didakwa melakukan perbuatan itu seorang berasal dari daerah Etah, manakala dua lagi dari Mainpuri.

Bagaimanapun, keluarga mangsa tidak berpuas hati kerana menuduh polis menyiasat kes itu sebagai dakwaan penculikan dan mengurung secara salah di bawah Seksyen 363 dan 366 Kanun Keseksaan.

Bapa saudara mangsa dalam aduannya berkata, hal itu tidak sepatutnya berlaku kerana mereka dengan jelas menyebut berlaku serangan seksual.

"Kami tidak memberitahu polis mengenai kehilangan mangsa lebih awal kerana enggan persepsi negatif terhadapnya (mangsa).

"Selepas menyelamatkannya dan mengetahui dia diserang secara seksual oleh tiga lelaki selama lapan hari, kami memutuskan membuat laporan polis (berhubung dakwaan rogol itu)," katanya.

Sementara itu, Inspektor Rishi Kumar dari balai polis Auncha mengakui aduan berhubung serangan seksual belum dimasukkan ke dalam laporan pertama dibuat oleh mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Februari 2021 @ 7:00 AM