PETUGAS kesihatan di Bogor, Indonesia, merawat pesakit Covid-19. FOTO AFP
PETUGAS kesihatan di Bogor, Indonesia, merawat pesakit Covid-19. FOTO AFP
Agensi

Jakarta: Fasiliti kesihatan di Indonesia mula menolak pesakit berikutan katil tidak mencukupi untuk menampung jumlah pesakit yang ramai akibat pandemik Covid-19.

Mendedahkan perkara itu kepada agensi berita Al-Jazeera, Ketua Pasukan Covid-19 di Hospital Persahabatan Nasional Lung, Indonesia Dr Erlina Burhan berkata, sepanjang 30 tahun memberikan khidmat perubatan untuk pertama kalinya dalam kariernya, dia terpaksa menolak pesakit.

Selama enam bulan terakhir, unit rawatan rapi (ICU) di kebanyakan hospital di ibu kota Indonesia, beroperasi pada kapasiti antara 90 hingga 100 peratus berikutan jangkitan Covid-19 meningkat.

"Kami menolak pesakit setiap hari kerana tidak ada yang dapat kami lakukan jika hospital penuh.

"Walaupun pesakit berada dalam keadaan kritikal dan memerlukan rawatan di ICU, jika kita tidak memiliki ruang, kita terpaksa menolaknya dengan ucapan maaf," katanya.

Kes Covid-19 di Indonesia melepasi angka sejuta pada Selasa lalu tetapi doktor memberi amaran sebenarnya realiti di hospital mereka jauh lebih buruk terutama di Pulau Jawa dan Bali.

"Ada beberapa hospital di wilayah dan bandar kapasiti katil sudah 90 peratus dan ada yang mencapai 100 peratus," katanya.

Doktor di Hospital Umum Sidoarjo di Jawa Timur, Dr Atok Irawan berkata, hospital tiada pilihan tetapi terpaksa menggunakan bahagian umum berikutan ruang disediakan untuk merawat pesakit Covid-19 sudah penuh.

"Malam tadi (kelmarin), kami benar-benar sedih ... hampir semua hospital khusus untuk Covid-19 penuh.

"Kami mempunyai ramai pesakit bukan Covid-19 yang memerlukan bantuan juga ... kerana musim hujan, ada pesakit dengan demam kepialu dan cirit-birit," katanya.

Sejak Ogos tahun lalu, Dr Irma Hidayana dari Lapor Covid-19 terpaksa bertugas hampir setiap hari.

Jangkitan Covid-19 di Indonesia pada Selasa melepasi angka satu juta kes, ketika proses vaksinasi virus itu sedang dilaksanakan di seluruh republik berpenduduk hampir 290 juta orang itu.

Menurut data yang disiarkan di laman rasmi pemerintah Indonesia berkenaan Covid-19, covid19.go.id. pada Selasa, republik itu merekodkan 13,094 lagi kes baharu dalam tempoh 24 jam, menjadikan kes positif keseluruhan kini meningkat kepada 1,012,350 kes.

Bagaimanapun, 820,356 pesakit yang dijangkiti virus itu dinyatakan sudah sembuh. Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 January 2021 @ 6:35 AM