POSTER iklan memberitahu orang ramai mengenai lokasi pusat vaksinasi COVID-19 yang ditetapkan di daerah pusat kewangan Dubai. FOTO AFP
POSTER iklan memberitahu orang ramai mengenai lokasi pusat vaksinasi COVID-19 yang ditetapkan di daerah pusat kewangan Dubai. FOTO AFP
AFP

Dubai: Restoran di Dubai mula menawarkan diskaun kepada pelanggan yang sudah mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

Emiriah Arab Bersatu (UAE) berkata, ia sudah melaksanakan suntikan vaksin berkenaan kepada 2.5 juta penduduknya daripada 10 juta jumlah keseluruhan populasi.

Ia adalah jumlah kedua tertinggi selepas Israel bagi kadar populasi yang sudah mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

Risalah diedarkan di media sosial menyatakan 'sebarkan kasih sayang, bukan Rona' oleh rangkaian restoran tempatan menawarkan diskaun 10 peratus kepada penduduk yang sudah mendapatkan dos pertama suntikan, manakala potongan harga 20 peratus untuk pelanggan yang sudah melengkapkan kedua-dua dos.

Pelanggan perlu menunjukkan bukti seperti sijil perubatan bagi menandakan mereka benar-benar sudah mendapatkan vaksin berkenaan.

Walaupun sebahagian penduduk Dubai mengalu-alukan langkah itu, namun ada yang kurang senang.

"Terdapat dua cara untuk melihat inisiatif berkenaan. Sama ada ia hanya taktik pemasaran atau ia langkah jujur untuk menggalakkan penduduk negara ini mendapatkan suntikan," kata satu hantaran di Twitter.

UAE memulakan program vaksinasi besar-besaran sejak Disember tahun lalu, menggunakan vaksin keluaran Sinopharm dan Pfizer-BioNTech.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 January 2021 @ 9:14 PM