MAHARAJA Naruhito dan Permaisuri Masako. FOTO AFP
MAHARAJA Naruhito dan Permaisuri Masako. FOTO AFP
AFP

Tokyo: Seorang lelaki berusia 29 tahun ditahan selepas dua jam memecah masuk kediaman Maharaja Naruhito, lapor media tempatan pada Ahad.

Lelaki itu yang tidak dinamakan berjaya memasuki kompleks kediaman yang biasanya dikawal ketat untuk anggota keluarga diraja itu melalui rumah tamu berdekatan pada malam Sabtu, lapor Fuji News Network (FNN).

Dia ditahan oleh pengawal berdekatan dengan kediaman Puteri Yuriko, ibu saudara kepada Maharaja Naruhito.

FNN melaporkan lelaki itu mendapat akses melalui pintu masuk rumah tamu, yang tidak dikawal ketika itu.

Suspek didakwa memberitahu polis bahawa dia mahu berjumpa keluarga diraja itu.

Tiada sebarang maklumat sama ada lelaki itu berjaya berjumpa dengan keluarga diraja bagaimanapun media tempatan berkata tiada sesiapa mengalami kecederaan dalam insiden itu.

Dikatakan ia bukan kejadian kali pertama.

Pada Mei 2020, seorang lelaki ditahan selepas berenang menyeberangi parit Istana Maharaja untuk memanjat tembok luar dan memasuki kawasan perkarangan yang tidak dibenarkan masuk.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 January 2021 @ 4:19 PM