PEKERJA pembersihan melakukan sanitasi di dalam komuter BTS di Bangkok. FOTO AFP
PEKERJA pembersihan melakukan sanitasi di dalam komuter BTS di Bangkok. FOTO AFP
AFP

Bangkok: Aktiviti malam di Bangkok dijangka kembali sunyi bermula hari ini selepas pihak berkuasa melarang pembukaan bar, kelab malam dan restoran bagi mengekang penularan Covid-19.

Thailand sebelum ini dilihat berjaya mengawal pandemik berkenaan dengan jumlah 4,000 kes jangkitan pada November lalu, walaupun menjadi negara pertama luar China dikesan dengan virus berkenaan.

Namun, wabak yang dikesan bulan lalu di pasar makanan laut menyebabkan peningkatan kes di 53 wilayah.

Sehingga kini, jumlah kes meningkat kepada 7,300.

Di Bangkok, di mana lebih 2,600 kes aktif dilaporkan, pihak berkuasa mengambil langkah dengan mengumumkan sekatan pergerakan separa bermula hari ini.

Bar dan kelab malam, gelanggang tinju, rumah urut dan salun kecantikan serta gimnasium antara perniagaan yang terjejas.

Sekolah juga akan ditutup selama dua minggu dan puluhan titik pemeriksaan disediakan di seluruh bandar.

"Kami tidak mahu melaksanakan pendekatan ekstrem seperti sekatan pergerakan, namun kami mahu ubat lebih kuat untuk mengelakkan lebih banyak jangkitan," kata jurucakap jawatankuasa Covid-19 Thailand, Taweesin Visanuyothin.

Sekatan ini dijangka berkuatkuasa 4 Januari hingga 1 Februari, dan pihaknya memberi dua hari sebagai 'tempoh bertenang' untuk pemilik perniagaan membuat persediaan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 January 2021 @ 5:19 PM