BEKAS yang menyimpan abu mayat milik seorang lelaki. FOTO Agensi
BEKAS yang menyimpan abu mayat milik seorang lelaki. FOTO Agensi
Agensi

Auckland: Seorang wanita tidak menyangka pemberat kertas yang dibelinya sejak lima tahun lalu mengandungi abu mayat seorang lelaki.

Portal Mirror melaporkan, kisah Jessica Roberts dari Wellington, New Zealand itu tular di media sosial selepas dia mahu mencari pemilik kepada abu mayat itu.

Katanya, anak lelakinya, Braiden menemui barangan berbentuk hati itu yang disangka pemberat kertas menerusi satu jualan garaj.

Tertarik dengan barangan itu yang masih elok, dia bersetuju membelikannya dengan harga AS$1 (RM4.06).

Sejak itu, Jessica menyimpan pemberat kertas itu sehingga dia menyedari objek berkenaan adalah tempat penyimpanan abu mayat manusia atau haiwan seperti tertera dalam laman web Amazon.

Menerusi hantaran di Facebook miliknya, dia tidak tahu apa yang perlu dilakukan.

"Sekarang saya tidak tahu apa yang harus saya lakukan, adakah perlu saya membuka skru dan penutup di bahagian bawah serta menganggapnya pasir.

"Atau saya perlu membuangnya, mempelajari daripada filem seram ini boleh menyebabkan hidup saya dihantui," katanya.

Wanita itu kemudian memuat naik gambar bekas abu mayat itu dengan harapan dapat menemui waris pemiliknya.

Bagaimanapun, Jessica bernasib baik apabila akhbar tempatan menyiarkan kisah itu dan dia dihubungi seorang lelaki mendakwa bekas itu milik isterinya yang mengandungi abu mayat bapa mentuanya.

Lelaki itu mendakwa, bekas abu mayat itu hilang sejak beberapa tahun lalu selepas seorang rakan merampas semua barangan isterinya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Disember 2020 @ 5:14 PM