Perdana Menteri, Sheikh Sabah Al-Khalid Al-Sabah yang menjadi individu pertama menerima suntikan. FOTO AFP
Perdana Menteri, Sheikh Sabah Al-Khalid Al-Sabah yang menjadi individu pertama menerima suntikan. FOTO AFP
AFP

Kuwait City: Kuwait memulakan program vaksinasi Covid-19 hari ini, mengikut jejak langkah beberapa negara Teluk lain yang melaksanakan kempen inokulasi besar-besaran.

Perdana Menteri, Sheikh Sabah Al-Khalid Al-Sabah yang menjadi individu pertama menerima suntikan berkenaan berkata, vaksin itu adalah selamat dan diluluskan beberapa negara.

Kuwait, yang secara rasmi melaporkan lebih 148,000 kes jangkitan termasuk 924 kematian, menerima 150,000 dos pertama vaksin Pfizer-BioNTech semalam.

Sementara Qatar yang mencatatkan lebih 142,000 kes jangkitan dan 243 kematian, memulakan program vaksinasi semalam.

Di Bahrain, lebih 90,000 kes jangkitan dan 350 kematian dicatatkan, memulakan program vaksinasi hari ini menggunakan vaksin keluaran Pfizer-BioNTech dan Sinopharm dari firma China.

Pegawai di Manama berkata, hampir 40,000 individu tampil mendapatkan vaksin.

Di Emiriah Arab Bersatu (UAE), Abu Dhabi memulakan vaksinasi pada 14 Disember lalu selepas meluluskan vaksin Sinopharm, sementara Dubai memulakan kempen menggunakan vaksin Pfizer-BioNTech pada Rabu.

UAE mencatatkan hampir 200,000 kes jangkitan termasuk 645 kematian.

Negara paling teruk terjejas di Semenanjung Arab, Arab Saudi, dengan lebih 360,000 jangkitan dan 6,148 kematian, memulakan program vaksinasi pada 17 Disember menggunakan vaksin Pfizer-BioNTech.

Manakala, Oman dengan lebih 128,000 jangkitan dan 1,491 kematian akan memulakan kempen vaksinasi Ahad ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Disember 2020 @ 9:35 PM