JOKOWI. FOTO AFP
JOKOWI. FOTO AFP
Agensi

Jakarta: Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi telah menggantikan enam menteri dalam satu rombakan Kabinet yang besar bertujuan memulihkan negara itu daripada pandemik Covid-19.

Ia antara lain membabitkan Budi Gunadi Sadikin, yang dilantik sebagai Menteri Kesihatan menggantikan Dr Terawan Agus Putranto.

Sebelum ini beliau adalah timbalan menteri bagi Badan Usaha Milik Negara yang turut memimpin pasukan bertindak pemulihan ekonomi.

Sandiaga Uno pula dilantik sebagai Menteri Pariwisata dan Ekonomi Kreatif menggantikan Wishnutama Kusubandio; dan Tri Rismaharini dilantik sebagai Menteri Sosial menggantikan Juliari Batubara yang terpalit kes rasuah.

Sementara itu, Muhammad Lutfi dilantik menjadi Menteri Perdagangan menggantikan Agus Suparmanto, Yaqut Cholil Qoumas menggantikan Fachrul Razi sebagai Menteri Agama, dan Sakti Wahyu Trenggono sebagai Menteri Kelautan dan Perikanan menggantikan Edhy Prabowo.

Portal Republika melaporkan, Jokowi berkata, beberapa portfolio yang ditukar termasuk kesihatan, perdagangan dan pelancongan dilihat sebagai sangat penting dalam melakar hala tuju untuk memulihkan ekonomi dari Covid-19.

Dengan rombakan kabinet itu, ia sekali gus menamatkan spekulasi selama berbulan-bulan selepas Jokowi memberitahu menterinya pada Jun bahawa beliau sudah bersedia untuk berbuat demikian kerana sebilangan menteri tidak melakukan usaha secukupnya untuk melawan wabak Covid-19.

Ketika itu, Jokowi mendakwa bahawa ramai daripada mereka bertugas seolah-olah keadaan masih normal.

Katanya, perbuatan mereka itu "membangkitkan kemarahannya".

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Disember 2020 @ 9:20 PM