KEJADIAN letupan bom yang membunuh 8 individu dan 15 cedera Ahad lalu di Kabul. FOTO AFP
KEJADIAN letupan bom yang membunuh 8 individu dan 15 cedera Ahad lalu di Kabul. FOTO AFP
AFP

Kabul: Empat doktor yang bertugas di penjara Afghanistan adalah antara lima maut dalam serangan bom yang diletakkan pada kenderaan mereka, pada Selasa.

Letupan itu berlaku di bahagian selatan bandar ketika mereka dalam perjalanan ke penjara Pul-e-Charkhi tempat mereka bekerja, kata jurucakap polis Kabul, Ferdaws Faramarz.

Empat doktor dan seorang penumpang terbunuh ketika 'bom magnetik' yang melekat pada kereta meletup, kata Faramarz, sambil menambah bahawa dua orang lagi mengalami kecederaan.

Penjara itu menempatkan beratus militan Taliban dan penjenayah lain.

Bandar ini dilanda 'gelombang' keganasan yang membawa maut sejak beberapa bulan lalu walaupun Taliban dan kerajaan sedang mengadakan rundingan damai.

Pembunuhan disasarkan terhadap tokoh terkemuka, termasuk wartawan, ahli politik dan aktivis seolah-olah menjadi perkara biasa di Kabul.

Serangan ini berlaku hanya selepas dua hari kejadian bom yang mensasarkan ahli parlimen, membunuh 10 anggota serta mencederakan lebih 50 yang lain.

Sehari sebelum kejadian itu pula, Timbalan Gabenor Kabul, Mahbobullah Mohebi juga terbunuh akibat serangan bom.

Pada Isnin lalu, wartawan Afghanistan, Rahmatullah Nekzad pula ditembak mati di bandar Ghazni yang terletak di bahagian timur Afghanistan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Disember 2020 @ 3:28 PM