HUN Sen. FOTO AFP
HUN Sen. FOTO AFP
Agensi

Phnom Penh: Kemboja mengumumkan tidak akan membenarkan rakyat mereka dijadikan 'tikus makmal' bagi menguji keberkesanan vaksin Covid-19 dibangunkan China.

Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen berkata, beliau tidak akan membenarkan penduduk negara itu menerima suntikan vaksin Covid-19 keluaran China walaupun ia diberikan secara percuma.

"Jika vaksin berkenaan tidak diluluskan, tetapi masih diguna untuk program inokulasi rakyat, amat malang sekali sekiranya ia menyebabkan kematian atau komplikasi kesihatan yang serius.

"Justeru, kami sedia menunggu dan akan menggunakan pelitup muka sementara menanti vaksin yang diluluskan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

"Kemboja akan membeli dos vaksin dari mana-mana negara jika ia sudah diluluskan WHO," katanya dalam ucapan secara langsung di televisyen, seperti dilaporkan Khmer Times.

Menurutnya, beliau tidak akan membenarkan rakyat Kemboja digunakan sebagai 'tikus makmal' untuk sebarang percubaan vaksin oleh mana-mana negara atau syarikat, melainkan ia diluluskan oleh WHO.

Sementara itu, Nikkei Asia melaporkan Kemboja akan mendapat bekalan satu juta dos vaksin Covid-19 namun tidak menyenaraikan vaksin Sinovac dari China.

Hun Sen berkata, beberapa negara sudah membangunkan vaksin mereka sendiri namun tiada yang mendapat kelulusan WHO setakat ini, termasuk Rusia, Britain, Amerika Syarikat (AS) atau Jerman.

Beliau turut memaklumkan stok vaksin sudah ditempah melalui program Covax di bawah naungan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menawarkan subsidi kepada 92 negara berpendapatan rendah.

"Kemboja menyasarkan perolehan 26 juta dos vaksin bagi menyuntik 13 juta daripada 16 juta penduduknya secara percuma dengan peruntukan antara AS$100 juta (RM403 juta) dan AS$200 juta (RM806 juta)," katanya.

Pada masa sama, kerajaan Kemboja turut menerima lebih AS$48 juta (RM194 juta) yang didermakan lebih 38,000 individu termasuk sumbangan terbesar AS$5 juta (RM20.1 juta) oleh bilionair kasino milik warga Malaysia, NagaWorld.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Disember 2020 @ 6:30 AM