PASANGAN mempelai meraikan perkahwinan dalam sut PPE selepas pengantin perempuan disahkan positif Covid-19 beberapa jam sebelum majlis berlangsung. FOTO Agensi
PASANGAN mempelai meraikan perkahwinan dalam sut PPE selepas pengantin perempuan disahkan positif Covid-19 beberapa jam sebelum majlis berlangsung. FOTO Agensi
Agensi

Jaipur: Pasangan pengantin di India nekad meneruskan majlis perkahwinan mereka biarpun dengan memakai sut pakaian perlindungan diri (PPE).

Ia selepas pengantin wanita disahkan positif Covid-19 beberapa jam sebelum majlis berlangsung.

Kisah itu mendapat perhatian selepas gambar dan video majlis perkahwinan pasangan pengantin berkenaan tular di laman sosial.

The New India Express melaporkan, bukan hanya pasangan itu, malah ahli keluarga dan paderi dikehendaki hadir memakai set PPE.

Ia majlis perkahwinan pertama yang diadakan di Pusat Rawatan Covid-19 dengan pasangan hadir memakai PPE.

Pengantin perempuan menetap kampung Chhatarganj, Kelwara dilaporkan berkahwin dengan guru kerajaan dari Danta.

Ibunya sakit beberapa hari sebelum majlis berlangsung dan pengantin wanita itu kemudian menjalani ujian saringan sebelum disahkan positif Covid-19.

Keluarga pengantin perempuan itu buntu kerana keputusan ujian diperoleh beberapa jam sebelum majlis bermula dan mengikut adat Hindu, perkahwinan tidak boleh ditangguhkan.

Mereka merayu kepada pihak berkuasa meneruskan majlis perkahwinan.

Selepas mempertimbangkan permintaan keluarga pasangan berkenaan, majlis perkahwinan itu diteruskan, tetapi dijalankan di Pusat Rawatan Covid-19 mengikut prosedur operasi standard (SOP) dengan dihadiri pegawai kerajaan sebagai pemantau.

Sejurus selesai majlis, pasangan itu dan ibu pengantin perempuan terus dimasukkan ke pusat rawatan Covid-19 .

Sampel pengantin lelaki turut diambil bagi menjalani ujian saringan Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Disember 2020 @ 2:00 AM