GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Agensi

Palembang: Berang melihat anak perempuannya dipukul menyebabkan seorang bapa di Sumatera Selatan, sanggup menikam menantunya dengan pisau hingga mati.

Tribunnews melaporkan suspek dikenali Anwar, 60, bertindak sedemikian selepas melihat anak perempuannya, Maria Susanti dipukul oleh mangsa, Bambang Ciptadi Lubis.

Ketua Polis Daerah Lubuklingga Utara, Sudarno berkata, mangsa dan isterinya bertengkar sebelum kejadian itu.

"Mangsa dan isterinya sudah lama tidak sehaluan dan sering bertengkar.

"Pada hari kejadian, anak suspek datang ke rumah mangsa untuk menuntut cerai, tetapi lelaki itu enggan menuruti permintaan isterinya.

"Ia menyebabkan wanita itu akhirnya pulang ke pangkuan keluarga namun mangsa naik berang apabila isterinya membawa bersama barangan yang ada di dalam rumah," katanya.

Disebabkan tidak berpuas hati, mangsa mengekori isterinya sebelum memukul wanita berkenaan yang ketika itu hampir tiba di rumah keluarganya.

"Suspek mendengar kekecohan di luar rumahnya dan terus keluar untuk melihat apa yang berlaku.

"Ketika itu, mangsa sedang marah sambil tangannya menuding ke arah suspek.

"Tanpa berfikir panjang, suspek terus masuk ke dalam rumah mengambil pisau di dapur sebelum menikam mangsa hingga rebah," katanya

Menurut Sudarno, mangsa dikejarkan ke hospital selepas kejadian sebelum disahkan meninggalkan dunia.

"Suspek sudah ditahan dan dibawa ke balai polis untuk disoal siasat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 November 2020 @ 6:31 AM