PENYOKONG Liga Nasional untuk Demokrasi mengangkat sepanduk untuk menyokong Penasihat Negara Myanmar Aung San Suu Kyi FOTO AFP
PENYOKONG Liga Nasional untuk Demokrasi mengangkat sepanduk untuk menyokong Penasihat Negara Myanmar Aung San Suu Kyi FOTO AFP
BERNAMA

Yangon: Myanmar sedang membuat persiapan untuk memastikan pilihan raya umum akan datang dapat dijalankan dengan aman dan selamat, di tengah-tengah penularan wabak Covid-19, lapor agensi berita Xinhua, memetik Penasihat Negara Aung San Suu Kyi.

"Kami akan menjalankan sesi latihan sebanyak tiga kali sebelum hari pilihan raya untuk memastikan perjalanan proses pilihan raya berjalan lancar dan membuat perancangan teliti mengenai peraturan yang perlu dibuat," kata Suu Kyi dalam ucapannya disiarkan stesen televisyen pada Isnin.

Suu Kyi mahu rakyat memahami bahawa mengundi dalam pilihan raya menjadi kewajipan dan mematuhi peraturan serta undang-undang kesihatan juga satu tanggungjawab.

Beliau berkata, perancangan juga sedang dibuat untuk rakyat yang dikuarantin dan yang di hospital boleh mengundi sebagai memenuhi hak mereka.

"Kami tidak mahu orang tertekan kerana Covid-19 dan harus diingat ketakutan serta kebimbangan melampau tidak bagus. Rakyat perlu percaya kerajaan sedang berusaha melakukan yang terbaik," katanya.

Pilihan raya umum Myanmar 2020 akan diadakan pada 8 November dan penggal lima tahun pemerintahan Liga Nasional Demokrasi (NLD) tamat pada Mac 2021.

Setakat Isnin, Myanmar melaporkan 18,781 kes Covid-19 dengan 444 kematian, menurut angka terbaru dikeluarkan Kementerian Kesihatan dan Sukan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Oktober 2020 @ 11:17 AM