GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Seoul: Pakar kesihatan pada Rabu memberi amaran potensi 'twindemic' musim sejuk mungkin melanda dan jika tidak ditangani dengan betul boleh memburukkan lagi situasi Covid-19, lapor agensi berita Yonhap.

Pertarungan menentang virus di seluruh negara dijangka berhadapan kesukaran ketika musim sejuk semakin menghampiri, kerana virus sistem pernafasan, termasuk influenza dan Covid-19, mempunyai simptom yang hampir serupa, termasuk demam dan sakit tekak, menyebabkan ia sukar dikenal pasti melainkan dengan menjalani uijian.

Agensi Kawalan dan Pencegahan Penyakit (KDCA) sebelumnya mengesahkan kes bertindih berkaitan kedua-dua penyakit yang membabitkan sistem pernafasan itu.

"Disebabkan sukar untuk membezakan di antara dua penyakit itu, orang ramai perlu menjalani ujian sekiranya mereka mempunyai gejala," kata Park Wan-beom, pakar penyakit berjangkit di Hospital Nasional Seoul.

Bermula awal bulan ini, negara itu menyediakan suntikan selesema percuma, kebanyakannya untuk kanak-kanak yang lebih kecil, sebagai satu usaha bagi meningkatkan bilangan rakyat yang sudah mendapat imunisasi.

Kerajaan akan memberikan suntikan selesema percuma kepada sekitar 19 juta orang, atau 37 peratus daripada jumlah penduduk negara itu.

Ia termasuk untuk kanak-kanak berusia antara enam bulan hingga 18 tahun, wanita hamil dan mereka yang berumur 62 tahun ke atas.

Kebimbangan semakin meningkat apabila KDCA pada Selasa mengumumkan pihaknya akan menghentikan sementara program suntikan selesema percuma, berikutan terdapat sejumlah botol vaksin tidak dikendalikan dengan betul.

KDCA berkata, jika vaksin yang terbabit lulus ujian kualiti, ia akan diberikan kepada mereka yang berusia 13-18 tahun, diikuti oleh demografi yang lebih tua.

Ujian itu, yang akan dijalankan oleh Kementerian Keselamatan Makanan dan Ubat-ubatan, akan mengambil masa sekitar dua minggu.

Bagaimanapun, masih ada yang enggan mendapatkan vaksin kerana kebimbangan mengenai kemungkinan dijangkiti virus Covid-19 ketika mengunjungi klinik kejiranan.

Keraguan itu semakin bertambah apabila kepercayaan orang ramai terhadap keberkesanan vaksin selesema berkurangan berikutan kesilapan semasa penyimpanan.

Namun, pakar kesihatan menasihati orang ramai, terutama anak kecil, untuk mendapatkan vaksin secepat mungkin.

Keberkesanan suntikan selesema berbeza bergantung pada faktor-faktor seperti usia, iaitu dalam lingkungan antara 40 hingga 60 peratus.

Negara ini menambah 110 lagi kes Covid-19 pada Rabu, termasuk 99 jangkitan tempatan, meningkatkan jumlah kes kepada 23,216, menurut KDCA.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 September 2020 @ 2:44 PM