FOTO pada 11 Julai menunjukkan pemandangan Korea Utara (di bahagian atas) dan Korea Selatan (bahagian bawah) dari Pulau Ganghwa. FOTO AFP
FOTO pada 11 Julai menunjukkan pemandangan Korea Utara (di bahagian atas) dan Korea Selatan (bahagian bawah) dari Pulau Ganghwa. FOTO AFP
BERNAMA

Seoul: Seramai 11 pembelot Korea Utara pulang ke negara asal dari Korea Selatan sejak lima tahun lalu, lapor Agensi Berita Yonhap menurut Kementerian Penyatuan Korea Selatan pada Isnin.

"Tiga pembelot menyeberang ke Korea Utara pada 2015, empat pada 2016 dan empat lagi pada 2017, menjadikan keseluruhan 11 orang, berdasarkan data, termasuk laporan media Korea Utara," kata jurucakap kementerian Yoh Sang-key kepada wartawan.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan dakwaan Pyongyang, seorang pembelot disyaki mempunyai simptom virus Covid-19 menyeberangi sempadan baru-baru ini.

Jumlah itu tidak termasuk kes terbaharu, kata Yoh.

Pembelot berusia 24 tahun itu melarikan diri ke Korea Utara ketika sedang disiasat polis kerana disyaki merogol seorang pembelot wanita pada bulan lalu.

Kepulangan pembelot itu diketahui umum selepas Korea Utara pada Ahad berkata, lelaki itu balik ke negara asal dengan membawa bersama gejala Covid-19.

Sementara itu, pihak berkuasa kesihatan Korea Selatan berkata pada Isnin pembelot berkenaan tidak dijangkiti virus.

"Lelaki itu tidak didaftar sebagai pesakit Covid-19 atau diklasifikasikan orang yang menjadi kontak pesakit," kata seorang pegawai kanan kesihatan Yoon Tae-ho dalam taklimat media.

Yoon berkata, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea melakukan ujian saringan terhadap dua orang yang mempunyai kontak rapat dengan pembelot, dan kedua-duanya didapati negatif.

Menurut tentera Korea Selatan, pembelot itu dipercayai berenang melintasi sempadan dari pulau Gwanghwa di sempadan barat untuk mengelak daripada dikesan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Julai 2020 @ 2:47 PM