ARAB Saudi sedia membina reaktor penyelidikan nuklear pertama. FOTO/AGENSI
ARAB Saudi sedia membina reaktor penyelidikan nuklear pertama. FOTO/AGENSI
AFP

RIYADH: Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman semalam, meletakkan batu asas pembinaan reaktor penyelidikan nuklear pertama, dalam usaha mempelbagaikan pengeluaran tenaga di negara itu.

Saudi Press Agency (SPA) melaporkan reaktor itu adalah antara tujuh projek yang dilancarkan Putera Mohammed dalam lawatannya ke Bandar Sains dan Teknologi King Abdulaziz, Riyadh.

Bagaimanapun, SPA tidak mendedahkan butiran lanjut mengenai tujuan penyelidikan yang bakal dijalankan oleh reaktor itu, sama ada untuk pendidikan dan pembangunan, selain kos dan tempoh pembinaannya.

Ketika ini, minyak dan gas asli adalah sumber tenaga utama di Arab Saudi.

Arab Saudi merancang untuk membina 16 reaktor nuklear dalam tempoh 20 tahun akan datang, membabitkan kos sebanyak AS$80 bilion (RM333.4 bilion), di sebalik kebimbangan perluasan tenaga nuklear di Asia Barat.

Pada Mac lalu, Putera Mohammed berkata, Riyadh bersedia membangunkan senjata nuklear sekiranya Iran berbuat demikian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 November 2018 @ 8:11 AM