ANTARA roket yang dilancarkan ke angkasa dari AS. FOTO AFP
ANTARA roket yang dilancarkan ke angkasa dari AS. FOTO AFP
AFP

Washington: Sebuah keluarga di Amerika Syarikat (AS) menuntut lebih daripada AS$80,000 (kira-kira RM375,000) daripada Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (Nasa) selepas serpihan kecil jatuh dari angkasa dan merempuh bumbung rumah mereka di Florida, kata firma guaman pada Jumaat.

Masalah 'sampah angkasa' meningkat seiring dengan peningkatan trafik spatial, dan tindak balas Nasa boleh menetapkan precedent (duluan) mengenai pengendalian tuntutan pada masa depan, firma guaman Cranfill Sumner berkata dalam satu kenyataan.

Pada 8 Mac lalu, objek seberat hanya 700 gram itu terkena rumah Alejandro Otero di Naples, Florida, hingga bumbung rumahnya berlubang.

Nasa kemudian mengesahkan ia adalah sebahagian daripada palet kargo bateri terpakai yang dikeluarkan dari Stesen Angkasa Antarabangsa, sebagai sisa pada 2021.

Daripada hancur sepenuhnya sebelum jatuh ke bumi, satu bahagiannya kekal utuh apabila ia memasuki semula atmosfera, kata agensi angkasa AS.

Anak lelaki Otero berada di rumah pada masa kejadian, menurut firma undang-undang, yang mengatakan bahawa Nasa mempunyai enam bulan untuk menjawab tuntutannya.

"Klien saya mahukan pampasan yang mencukupi dengan mengambil kira tekanan dan impak peristiwa ini terhadap kehidupan mereka.

"Mereka bersyukur kerana tiada sesiapa yang mengalami kecederaan fizikal daripada kejadian ini, tetapi situasi 'nyaris' seperti ini boleh membawa malapetaka. Mungkin ada kecederaan serius atau kematian," kata peguam, Mica Nguyen Worthy.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Jun 2024 @ 12:28 PM