Empat beradik di bawah umur ditemui mati berpelukan antara satu sama lain selepas ibu mereka keluar untuk membeli piza. FOTO Agensi
Empat beradik di bawah umur ditemui mati berpelukan antara satu sama lain selepas ibu mereka keluar untuk membeli piza. FOTO Agensi
Agensi

Mexico City: Empat beradik di bawah umur ditemui mati berpelukan antara satu sama lain selepas ibu mereka keluar untuk membeli piza.

Memetik laporan Mirror, kanak-kanak itu bersendirian apabila disyaki berlaku litar pintas hingga menyebabkan kebakaran dalam kejadian yang berlaku di Reynosa, Mexico.

Victoria Sarai Torres Santiago, 2, Josué Eliseo Torres Santiago, 4, Yamilet Zamora Santiago, 8, dan Josira Ariadne Zamora Santiago, 11 semuanya maut dalam kebakaran itu.

Difahamkan, ibu mereka, Sarai Santiago García, sedang dalam perjalanan untuk mengambil piza dan ayah mereka Eliseo Torres Salce, yang juga seorang pemandu lori, berada di luar bandar atas tugasan.

Kanak-kanak itu dipercayai tidak dapat melarikan diri dari rumah kerana perabot menghalang laluan mereka.

Apabila jiran melihat asap menyelubungi, mereka menghubungi perkhidmatan kecemasan.

Selepas itu, jiran-jiran mendengar tangisan empat beradik itu dan berjaya memecahkan lubang di dinding menggunakan tukul besi.

Pada masa kanak-kanak ditarik keluar, mereka tidak bertindak balas. Paramedik yang tiba di tempat kejadian beberapa minit kemudian bagaimanapun gagal menyelamatkan kesemua mangsa.

Dilaporkan bahawa Josira sedang memeluk adik-beradiknya ketika mereka meninggal dunia.

Sarai yang bergegas pulang selepas mendengar mengenai kebakaran itu hanya sempat melihat jasad anak-anaknya yang sudah mati.

Bedah siasat menunjukkan mereka meninggal dunia akibat terhidu asap.

Eliseo bapa kepada dua anak bongsu juga adalah bapa tiri kepada dua anak sulung dalam catatan media sosial, berkata akan merindui kesemua anaknya.\

"Di syurga adalah separuh daripada hidup kita, anak-anak kecil yang tidak layak untuk pergi begitu cepat dan yang kita rindui sepenuh jiwa kita.

"Namun, Tuhan bertuah kerana mereka bersamanya. Sementara itu, saya akan menjaga ibu mereka sehingga hari kita bertemu lagi," katanya.

Tidak jelas sama ada penyiasatan sedang berjalan atau selesai tanpa pertuduhan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2024 @ 10:58 AM