Donald Sutherland. FOTO REUTERS
Donald Sutherland. FOTO REUTERS
Agensi

Washington: Bintang filem The Hunger Games dan Don't Look Now, Donald Sutherland meninggal dunia pada usia 88 tahun, lapor BBC.

Anak lelakinya yang juga pelakon Kiefer Sutherland, yang berkongsi berita duka itu menyifatkan ayahnya seorang yang penting dalam sejarah perfileman.

"Dengan berat hati, saya memberitahu bahawa bapa saya, Donald Sutherland, telah meninggal dunia. Saya secara peribadi menganggap dia salah seorang pelakon terpenting dalam sejarah filem.

"Tidak pernah gentar dengan peranan, baik, buruk atau hodoh. Dia menyukai apa yang dia buat dan melakukan apa yang dia suka, dan seseorang tidak boleh meminta lebih daripada itu. Kehidupan yang dilalui dengan baik," katanya.

Sepanjang kerjaya, Sutherland sudah membintangi hampir 200 karya membabitkan filem dan siri yang menjangkau lebih setengah abad.

Berita pemergian aktor legenda itu disambut dengan limpahan sokongan dan penghormatan.

Pelakon Rob Lowe, yang berlakon bersama Sutherland dalam siri mini Salem's Lot, menggelar dia seorang pelakon terhebat.

"Adalah satu penghormatan saya dapat bekerja dengannya bertahun-tahun yang lalu, dan saya tidak akan melupakan karisma dan kebolehannya," tulisnya di X.

Cary Elwes, pelakon bersama dalam filem televisyen Uprising 2001, berkata dia sangat sedih dengan kematian Sutherland.

"Hati saya hancur mendengar berita ini. Sangat bersyukur kerana mengenali dan dapat bekerjasama dengannya," katanya kepada Kiefer dalam mesej di Instagram.

Sementara itu, Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau turut berkongsi momen dan perasaan yang sangat terpesona ketika pertama kali bertemu dengan Sutherland.

"Fikiran saya tertuju kepada Kiefer dan seluruh keluarga Sutherland, serta semua warga Kanada yang pastinya sedih untuk terima, seperti yang saya alami sekarang.

"Dia seorang lelaki yang mempunyai aura yang kuat, kecemerlangan dalam bidangnya dan benar-benar seorang artis Kanada yang hebat," katanya.

Ron Howard, yang mengarahkan Sutherland dalam filem Backdraft 1991, berkata mendiang salah seorang pelakon filem yang paling bijak dan menarik sepanjang zaman.

Dilahirkan di New Brunswick, Kanada, Sutherland bermula sebagai wartawan berita radio sebelum berhijrah ke London pada 1957 untuk belajar di London Academy of Music and Dramatic Art.

Dia kemudian mengambil peranan kecil dalam filem dan televisyen British.

Pembabitan berprofil tinggi terawal beliau adalah dalam filem perang termasuk The Dirty Dozen 1967, dan Kelly's Heroes dan M*A*S*H dari 1970.

Tahun 1970-an juga menyaksikan dia melakonkan watak ahli IRA dalam The Eagle Has Landed, seorang profesor kolej di National Lampoon's Animal House dan peneraju dalam pembuatan semula 1978 Invasion of the Body Snatchers.

Pada 1980-an, Sutherland memegang watak sebagai bapa kepada seorang remaja yang membunuh diri dalam Ordinary People yang memenangi Anugerah Oscar.

Dia beralih ke televisyen pada tahun 2000-an apabila muncul dalam siri seperti Dirty Sexy Money dan Commander-in-Chief.

Walaupun sudah banyak berlakon, dia tidak pernah dicalonkan untuk Oscar. Dia pernah menerima Anugerah Akademi kehormat pada 2017.

Sutherland juga terkenal dengan aktivisme politiknya sepanjang kerjayanya, dan memprotes perang Vietnam bersama Fonda.

Karya hebat lain yang turut dibintangi seperti The Hunger Games: Mockingjay - Part 2, di mana dia memainkan watak Presiden Snow yang zalim.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2024 @ 9:25 AM