ROMEO lembu tertinggi dunia. FOTO GWR
ROMEO lembu tertinggi dunia. FOTO GWR
Agensi

Houston: Seekor lembu jantan baka Holstein Steer yang berusia enam tahun bernama Romeo diiktiraf oleh Rekod Dunia Guinness (GWR) sebagai lembu tertinggi di dunia.

Portal NDTV melaporkan, Romeo yang tinggal di tempat perlindungan haiwan di Oregon, mempunyai ketinggian enam kaki 4.5 inci (1.8288 meter 11.43 sentimeter) semasa berdiri.

Menurut GWR, Romeo mengatasi pemegang rekod sebelum ini Tommy dengan lebih daripada tiga inci (7.62 sentimeter).

Steer adalah merujuk kepada klaf lembu jantan yang sudah dikebiri dan diternak terutamanya untuk daging lembu di negara seperti Amerika Syarikat (AS).

Romeo digambarkan sebagai 'gergasi lembut' oleh pemiliknya, Misty Moore.

"Temui Romeo, lembu jantan tertinggi di dunia. Romeo ialah seekor lembu jantan Holstein Steer berusia enam tahun yang tinggal di Welcome Home Animal Sanctuary bersama pengembalanya, Misty Moore," ciap GWR bersama dengan video yang memaparkan Romeo.

Menurut GWR, Romeo suka makan terutamanya epal dan pisang dan lembu itu memakan 45 kilogram jerami setiap hari, bersama-sama dengan bijirin serta makanan tambahan.

Saiznya memerlukan pengangkutan khas dan tempat perlindungan yang lebih tinggi untuk memastikan keselesaannya.

Romeo baru berusia 10 hari ketika diselamatkan daripada disembelih.

"Saya menerima panggilan daripada seseorang yang menyelamatkannya di sebuah ladang tenusu.

"Anda lihat, dalam industri tenusu, anak lembu jantan seperti Romeo sering dianggap sebagai produk sampingan semata-mata, nasib mereka telah ditentukan oleh margin keuntungan," kata pemilik Romeo, Moore memberitahu organisasi GWR.

Bercakap kepada GWR, Moore berkata, ketika Romeo diselamatkan, pasukannya dapat merasakan Romeo mendambakan kehidupan yang lebih baik.

"Kami menyambut Romeo 'dengan tangan terbuka dan kasih sayang yang tidak bertepi'

"Ia menjadi misi kami untuk memberikan dia kehidupan itu. Kehidupan yang penuh dengan keselamatan, belas kasihan dan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi," kata Moore.

Selanjutnya, Moore menyifatkan Romeo sebagai simbol ketabahan dan cahaya harapan.

"Romeo mendapat namanya kerana pertalian yang mendalam terhadap cinta. Selain itu, gabungan ketampanan, kecerdasan dan kepekaannya yang menarik menjadikan nama itu sesuai," kata Moore.

Moore berkata, menjadi lembu sebesar Romeo juga hadir dengan beberapa cabaran seperti hospital haiwan biasa mungkin tidak mempunyai peralatan untuk mengendalikannya, yang boleh menyukarkan untuk memberikan bantuan yang diperlukannya semasa kecemasan.

"Dari segi kos, kami sentiasa melihat sumber wang dan menjadi kreatif dengan pengumpul dana untuk menampung bil barangan runcit Romeo yang besar," tambahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2024 @ 1:34 PM