Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). FOTO fail AFP
Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). FOTO fail AFP
AFP

New York: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atau UNSC berkata, ia akan memutuskan pada bulan ini mengenai permohonan Palestin untuk menjadi ahli penuh badan dunia itu.

Ketika perang Gaza berlanjutan ke bulan ketujuh, langkah majlis itu digambarkan sebagai "bersejarah" oleh rakyat Palestin, tetapi ia dikecam oleh Israel.

Duta Malta, Vanessa Frazier, yang memegang jawatan presiden bergilir-gilir UNSC berkata, "majlis memutuskan bahawa perbincangan ini perlu diadakan pada bulan April."

Sebarang permintaan untuk menjadi negara anggota PBB mesti terlebih dahulu melalui UNSC - di mana sekutu Israel, Amerika Syarikat (AS) mempunyai kuasa veto - dan kemudian, ia perlu disahkan oleh Perhimpunan Agung.

Rakyat Palestin, yang mempunyai status pemerhati di badan dunia itu sejak 2012, melobi selama bertahun-tahun untuk mendapatkan keahlian penuh, yang akan menyamai pengiktirafan kenegaraan Palestin.

"Hari ini adalah detik bersejarah," kata utusan Palestin di PBB, Riyad Mansour kepada pemberita, pada Isnin, ketika anggota UNSC, melalui jawatankuasa ad hoc mengenai keahlian baharu, memulakan proses semakan selepas rakyat Palestin, pada minggu lalu, melancarkan semula permohonan itu.

"Apa yang kami minta adalah untuk mengambil tempat kami yang sah dalam kalangan masyarakat negara, untuk dilayan sama rata - sama dengan negara lain, untuk hidup dalam kebebasan dan maruah, dalam keamanan dan keselamatan, di tanah nenek moyang kami," kata Mansour pada Perhimpunan Agung.

Bagaimanapun, pemerhati meramalkan AS akan menggunakan kuasa vetonya dan sebelum ini, menentang permohonan Palestin untuk keahlian penuh di PBB sejak 2011.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 April 2024 @ 4:46 PM