Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC). FOTO fail AFP
Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC). FOTO fail AFP
AFP

New York: Rakyat Palestin sekali lagi melobi untuk menjadi negara anggota penuh dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai keperluan penting dalam menghadapi serangan Israel di Gaza.

Rakyat Palestin yang mempunyai status pemerhati di badan dunia itu sejak 2012, melobi selama bertahun-tahun untuk mendapatkan keahlian penuh yang akan menyamai pengiktirafan kenegaraan Palestin.

Dalam surat kepada Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres semalam, Duta Palestin ke PBB, Riyad Mansour meminta supaya permohonan sejak 2011 itu, dipertimbangkan semula.

Surat itu dihantar kepada Majlis Keselamatan PBB atau UNSC.

Dalam kandungan surat itu, rakyat Palestin meminta permohonan mereka dikaji semula, bulan ini.

Presiden UNSC, Malta berkata, surat Mansour diterima dan diedarkan kepada ahli majlis.

Katanya, pihaknya dalam proses rundingan berhubung permohonan itu.

Liga Negara Arab, Pertubuhan Persidangan Islam dan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali menghantar surat kepada Guterres, semalam, untuk menyokong bidaan Palestin.

"Kami ingin memberi perhatian kepada anda, setakat tarikh ini, 140 negara anggota mengiktiraf negara Palestin," kata kenyataan bersama dalam surat termasuk senarai negara berkaitan.

Permohonan 2011, yang dibuat Presiden Palestin Mahmud Abbas, tidak pernah dibawa ke UNSC.

Perhimpunan Agung PBB mengundi untuk memberikan status pemerhati Palestin pada November 2012.

Sebarang permintaan untuk menjadi negara anggota PBB mesti terlebih dahulu disyorkan UNSC, kemudian disahkan menerusi majoriti dua pertiga dalam Perhimpunan Agung.

Pemerhati percaya desakan Palestin untuk menjadi anggota tidak mungkin sampai ke Perhimpunan Agung kerana Amerika Syarikat (AS), sekutu Israel boleh menggunakan kuasa veto majlis keselamatannya untuk menggagalkan cadangan itu.

Mansour berulang kali berkata, keanggotaan PBB menjadi keutamaan bagi rakyat Palestin susulan serangan tentera Israel di Semenanjung Gaza dalam beberapa bulan kebelakangan ini,

"Komuniti antarabangsa yang memutuskan untuk mewujudkan dua negara di Palestin sejak 1947.

"Menjadi kewajipan masyarakat antarabangsa bersama rakyat Palestin untuk menyelesaikan isu itu dengan memasukkan negara Palestin sebagai ahli," kata Mansour pada Februari.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 April 2024 @ 11:11 AM