DONALD Trump didakwa menyerahkan data kewangan palsu bagi membolehkan pinjaman lebih banyak dan pada kadar rendah. FOTO AFP.
DONALD Trump didakwa menyerahkan data kewangan palsu bagi membolehkan pinjaman lebih banyak dan pada kadar rendah. FOTO AFP.
Bernama-Xinhua

New York: Bekas Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan organisasi perniagaannya diarah membayar penalti sebanyak AS$355 juta semalam, membabitkan kes penipuan perniagaan yang dikemukakan oleh Peguam Negara New York Letitia James , lapor Xinhua.

Trump dan entitinya didakwa menyerahkan data kewangan palsu kepada akauntan bagi membolehkan pinjaman lebih banyak dan pada kadar lebih rendah, menurut hakim Mahkamah Agung New York County Arthur F Engoron.

"Defendan gagal menerima tanggungjawab atau mengenakan kawalan dalaman untuk memastikan perkara itu tidak berulang pada masa akan datang," kata Engoron merujuk ringkasan dokumen 92 muka surat.

Selain Trump; Allen Weisselberg, bekas ketua pegawai kewangan Organisasi Trump dan Jeffrey McConney, bekas pengawal Organisasi Trump, dilarang daripada berkhidmat sebagai pegawai atau pengarah dalam mana-mana perbadanan atau entiti undang-undang lain di New York selama tiga tahun.

Weisselberg dan McConney, dilarang secara kekal daripada berkhidmat dalam institusi kewangan di mana-mana perbadanan New York atau entiti perniagaan yang serupa di negeri itu.

Sementara itu, Weisselberg, Donald Trump Jr dan Eric Trump masing-masing didenda AS$1 juta, AS$4.01 juta dan AS$4.01 juta.

Eric dan Trump Jr mengkritik penghakiman itu dan peguam Donald Trump, Chris Kise bercadang untuk mengemukakan rayuan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Februari 2024 @ 12:05 PM