SEBUAH pesawat terhempas di sebuah rumah akibat kegagalan enjin. FOTO X @BNONews
SEBUAH pesawat terhempas di sebuah rumah akibat kegagalan enjin. FOTO X @BNONews
Agensi

Florida: Audio yang diperoleh Fox13 merakamkan detik-detik terakhir juruterbang yang terbunuh apabila pesawatnya terhempas ke sebuah rumah di Clearwater, Florida.

Dalam audio itu, juruterbang didengari melaporkan situasi kegagalan enjin secara tiba-tiba sebelum pesawat itu terhempas pada Khamis.

"Saya tidak dapat melihat lapangan terbang," kata juruterbang itu, dan menambah enjin pesawat sudah rosak.

Menurut pegawai bomba di Clearwater, juruterbang membuat panggilan kecemasan ke Lapangan Terbang Antarabangsa St Pete-Clearwater bagi melaporkan kegagalan enjin.

Menara lapangan terbang itu bagaimanapun terputus hubungan dengan pesawat yang berada kira-kira 4.8 kilometer (km) di utara landasan.

Nahas menyebabkan juruterbang dan dua yang lain maut manakala empat rumah terbakar selepas kebakaran merebak.

Transmisi audio itu turut dimasukkan dalam laporan daripada juruterbang lain yang menyaksikan nahas itu, memberitahu menara kawalan udara bahawa 'pesawat itu menjunam laju'. Mereka terbakar'.

"Dia pasti masuk ke dalam sebuah rumah, seluruh rumah musnah.

"Saya hanya melihat dia turun pada kadar kelajuan yang sangat tinggi," kata juruterbang itu.

Laporan oleh New York Post yang memetik pegawai bomba berkata responden di lapangan bersiap sedia untuk pendaratan cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa St. Pete-Clearwater.

Seorang warga tempatan memberitahu agensi berita Reuters, pasukan penyelamat tiba di tempat kejadian dan api dapat dipadamkan dalam masa setengah jam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Februari 2024 @ 3:55 PM