FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Agensi

Washington: Wanita di Minnesota memfailkan saman menuntut ganti rugi AS$50,000 (kira-kira RM229,000) terhadap doktor giginya, yang didakwa menyebabkannya kesakitan dan cacat selepas menjalani pelbagai prosedur pergigian, lapor portal People.

Kathleen Wilson memfailkan tuntutan mahkamah di Mahkamah Daerah Hennepin pada 21 Disember lalu dengan mendakwa Dr Kevin Molldrem dari Eden Prairie, Minn, memberikan melakukan kecuaian semasa lawatannya ke sebuah klinik, pada Julai 2020.

Wilson mendakwa Molldrem menjalankan 32 prosedur pada 28 gigi semasa lawatan itu, termasuk empat root canal (saluran akar), lapan dental crown (korona pergigian) dan 20 tampalan.

Dalam tuntutan mahkamah, Wilson berkata, dia mengalami kecederaan yang ketara daripada prosedur itu dan terus menanggung kesakitan dan penderitaan, malu, tekanan emosi dan kecacatan akibat daripada kecuaian Dr Molldrem.

Dia menuntut sekurang-kurangnya AS$50,000 (kira-kira RM229,000) sebagai ganti rugi, manakala Molldrem belum lagi memfailkan jawapan di mahkamah.

Tuntutan Wilson menyebut bahawa peguamnya mengupah Dr Avrum Goldstein sebagai saksi pakar untuk membantunya dalam kes itu.

Goldstein, yang kini berkhidmat di fakulti di Kolej Perubatan Pergigian Touro, menyemak rekod pergigian Wilson dan menyerahkan penemuannya dalam tuntutan yang difailkan Weimer.

Dalam laporannya, Goldstein bersetuju dengan diagnosis Molldrem bahawa hampir setiap gigi Wilson sudah reput.

Goldstein percaya bahawa percubaan Molldrem yang mahu "setiap lubang pada setiap gigi di dalam mulutnya ditampal dalam satu lawatan adalah tidak mungkin dicapai secara manusiawi" dan membaiki 28 gigi dalam satu lawatan adalah "tidak mungkin dicapai... jika dilakukan dengan betul".

Beliau juga mendakwa bahawa jumlah bius yang diberikan Molldrem kepada Wilson adalah melebihi apa yang dianggap selamat.

Dos maksimum bius yang akan diberikannya ialah 490 miligram (mg), namun Molldrem memberi Wilson hampir dua kali ganda jumlah itu iaitu 960 mg mengikut rekodnya, menurut Goldstein.

Molldrem juga didakwa memalsukan rekod berkenaan dengan jumlah bius yang dia berikan kepadanya, dan Wilson bernasib baik tidak mengalami sebarang kesan sampingan.

Goldstein membuat kesimpulan bahawa jika gigi Wilson perlu dicabut dan digantikan dengan implan, maka semua kerja yang dilakukan dan semua perbelanjaan yang berkaitan dengannya akan menjadi sia-sia.

Molldrem menjadi pengamal doktor gigi selama lebih 20 tahun, mengikut laman web Molldrem Family Dentistry.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Disember 2023 @ 11:57 AM