FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Agensi

Miami: Polis Florida menahan seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun, baru-baru ini, selepas dia didapati membuat panggilan palsu mengenai kejadian tembakan di sekolah, lapor NDTV.

Menurut Pejabat Syerif Daerah Marion, budak lelaki itu, yang namanya tidak didedahkan didakwa kerana melakukan laporan palsu mengenai tembakan besar-besaran, menggunakan alat komunikasi dua hala untuk melakukan jenayah, gangguan fungsi sekolah dan penyalahgunaan talian kecemasan 911.

Insiden itu dilaporkan berlaku di Akademi Horizon di Marion Oaks, 9.40 pagi pada Selasa lalu.

Berdasarkan panggilan itu, seorang individu yang dikenal pasti sebagai murid berusia 11 tahun, menelefon 911 untuk memaklumkan pihak berkuasa mengenai penembak yang dikatakan di lorong sekolah.

Menurut laporan, disebabkan panggilan 911, ia mendorong penutupan seluruh sekolah.

Walaupun pencarian intensif dilakukan, tiada lelaki bersenjata atau senjata ditemukan serta tiada kecederaan dilaporkan.

Selepas pemindahan, semua pelajar kembali ke bilik darjah masing-masing.

Apabila memulakan penyiasatan mengenai asal usul panggilan 911 itu, detektif mengesan ia datang daripada seorang murid berusia 11 tahun di sekolah itu.

Budak itu pada mulanya menafikan sebarang pembabitan dan mendakwa meninggalkan telefon dan beg galasnya di klinik sekolah.

Namun, siasatan kemudiannya mendedahkan bahawa budak lelaki sudah mengambil kesempatan dengan menggunakan telefon bimbit rakan untuk melakukan panggilan berkenaan.

Pejabat syerif berkata, semua itu adalah gurauan yang hanya menimbulkan ketakutan kepada rakan pelajar, kakitangan dan ibu bapanya.

Difahamkan, murid itu bertindak sedemikian kerana mahu pulang sekolah dengan lebih awal.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Disember 2023 @ 3:09 PM