DONALD Trump dan anaknya didapati menipu kerana menyediakan penyata kewangan palsu selama hampir sedekad. FOTO Reuters.
DONALD Trump dan anaknya didapati menipu kerana menyediakan penyata kewangan palsu selama hampir sedekad. FOTO Reuters.
Bernama-Xinhua

New York: Hakim New York, semalam memutuskan bahawa bekas Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan anaknya bertanggungjawab atas penipuan kerana menyediakan penyata kewangan palsu selama hampir satu dekad, lapor Xinhua.

Hakim Arthur Engoron mendapati bahawa bekas presiden itu dan syarikatnya menipu bank, syarikat insurans dan lain-lain dengan membesar-besarkan nilai aset dan nilai bersih pada dokumen yang digunakan dalam membuat urus niaga dan mendapatkan pembiayaan.

Beliau memerintahkan agar beberapa lesen perniagaan Trump dibatalkan sebagai hukuman.

Dalam tuntutan mahkamah, Peguam Negara New York, Letitia James mendakwa bahawa Trump, tiga anaknya dan syarikatnya mengemukakan jumlah yang "melampau" kepada bank dan syarikat insurans.

Peguam itu menuntut penalti US$250 juta dan larangan ke atas Trump menjalankan perniagaan di New York.

Engoron dijangka mengadakan perbicaraan tanpa juri bermula 2 Oktober sebelum memutuskan tuntutan dan sebarang hukuman yang mungkin dikenakan.

Trump berkeras bahawa beliau tidak melakukan sebarang kesalahan dan peguamnya telah meminta hakim New York membatalkan kes itu sebelum perbicaraan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 September 2023 @ 12:23 PM