Mexico City: Polis Mexico, baru-baru ini, mengendalikan kes pelik membabitkan seorang pengamal ilmu hitam yang memeras ugut orang awam dengan menggunakan anak patung.
Media tempatan melaporkan, suspek, Carlos N didakwa menggunakan anak patung yang dipuja untuk menakutkan orang ramai, sebelum menuntut wang daripada mereka.
Susulan itu, polis menahan lelaki itu bersama anak patung 'Chucky' itu.
Polis kemudian menempatkan lelaki terbabit dan anak patungnya itu di penjara di sebuah bandar di utara Mexico, awal minggu lalu.
Lelaki itu didakwa kerana mengganggu keamanan dan membahayakan integriti orang lain.
Namun, apa yang melucukan, polis terpaksa memegang dan membongkokkan anak patung itu ketika mahu merakam gambarnya.
Seorang pegawai di jabatan polis di Monclova, di negeri Coahuila, dilihat ketawa sambil mengangkat pisau panjang yang diambil daripada 'Chucky'.
Media Mexico melaporkan pegawai yang mengendalikan 'Chucky' itu kemudiannya ditegur kerana tidak mengambil serius berhubung tugasnya.
Carlos N kemudiannya dibebaskan, namun status dan keberadaan anak patung itu tidak diketahui.