FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
AFP

Washington: Wanita di Nebraska, Amerika Syarikat (AS), baru-baru ini, dipenjarakan dua tahun kerana membantu anak perempuannya menggugurkan kandungan dengan menggunakan sejenis pil.

New York Times melaporkan, Jessica Burgess, 42, dan anak perempuannya itu, Celeste didakwa bersama-sama untuk menggugurkan kandungan Celeste, tahun lalu.

Ketika berada dalam kamar mahkamah, Celeste yang dibebaskan awal bulan ini dilihat mengesat air mata ketika ibunya dijatuhkan hukuman penjara, Jumaat lalu, lapor The Norfolk Daily News.

Menurut akhbar itu, hakim menolak permintaan peguam Jessica untuk menjatuhkan hukuman percubaan dengan mengatakan dia mengendalikan janin itu seperti sampah.

Pendakwa raya berkata, Jessica memesan pil secara dalam talian sebelum memberikannya kepada anak perempuannya berusia 17 tahun yang ketika itu dalam trimester ketiga kehamilannya.

Pihak berkuasa berkata, anak beranak itu kemudiannya menanam sendiri janin itu.

Pada April 2022, polis mula menyiasat dakwaan bahawa Celeste melahirkan bayi secara pramatang, yang dipercayai sudah dikebumikan.

Julai lalu, Celeste dijatuhi hukuman penjara 90 hari selepas dia mengaku bersalah menyembunyikan sisa rangka manusia.

Pada bulan sama, Jessica mengaku bersalah melanggar undang-undang pengguguran bayi di Nebraska.

Dia didakwa memberikan maklumat palsu kepada pegawai penguat kuasa undang-undang selepas membuang atau menyembunyikan sisa rangka manusia.

Jessica menghadapi lima pertuduhan termasuk satu di bawah undang-undang 2010 yang hanya membenarkan pengguguran sehingga 20 minggu selepas persenyawaan.

Polis mula menyiasat anak beranak itu, sebelum keputusan Mahkamah Agung dalam kes Roe v Wade yang menyaksikan setiap negeri di AS mempunyai undang-undang tersendiri mengenai hak untuk menggugurkan kandungan.

Pada Ogos lalu, Facebook berpendirian akan mematuhi siasatan polis serta platform itu akan menjadi alat untuk mengekang sesiapa yang terbabit dalam prosedur pengguguran.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 September 2023 @ 10:06 AM