BOTOL mengandungi mesej yang ditemui Trudy Shattler, 5 Jun lalu. FOTO Agensi
BOTOL mengandungi mesej yang ditemui Trudy Shattler, 5 Jun lalu. FOTO Agensi
Agensi

Ottawa: Penemuan botol mengandungi mesej yang ditulis 34 tahun lalu menemukan wanita ini dengan waris penulis nota berkenaan.

Trudy Shattler berkata, dia sedang bersiar-siar di pantai berhampiran Pagouatchiou, Quebec, 5 Jun lalu apabila dia terjumpa botol berkenaan di celah batu.

"Saya biasa bersiar-sia di sini sambil mencari kaca laut dan cengkerang serta batu licin yang boleh dilukis.

"Pada hari itu, saya sangat teruja apabila menemui nota dalam botol," katanya kepada SaltWire.

Katanya, nota itu ditulis pada 29 Mei 1989 di belakang pek rokok sebelum dimasukkan dalam botol dari tahun 1980-an dan dihanyutkan di Fox Point, 16 kilometer dari Port au Choix, Newfoundland.

"Saya menyiarkan penemuan saya ini di Facebook untuk mencari pemilik nota ini sebelum dikongsi kenalan saya.

"Sehingga seseorang 'tag' Rick Hamlyn dan kami mula berkomunikasi," katanya.

Sementara itu, Rick dari Port au Choix berkata, dia menyedari nota itu adalah tulisan bapanya, Gilbert Hamlyn.

"Sebaik saja saya melihatnya, saya tahu tulisan itu ayah punya.

"Ayah memang suka masukkan nota dalam botol dan menghanyutkan ke laut semasa dia memancing.

"Apabila dia keluar memancing, dia akan mengambil apa saja yang ada di tangannya untuk menulis dan terkenal kerana menulis pada pek rokok Eksport A," katanya.

Katanya, Fox Point ialah nama bot ayahnya dan kali pertama dia memancing bersama bapanya pada 1989.

"Ayah berhenti memancing pada tahun 1995 sebelum membuka sebuah restoran, Anchor Café, di Port au Choix. "Kami sudah menjual restoran itu selepas dia meninggal dunia dua tahun lalu pada usianya 72 tahun," katanya.

Menurutnya, penemuan nota berkenaan amat istimewa sempena ulang tahun kelahiran bapanya, 13 Jun lalu kerana ia kenangan amat bermakna.

"Ayah selalu tertanya-tanya di mana botolnya akan hanyut dan ada tak orang membaca salah satu mesej ditulisnya.

"Alangkah baiknya jika dia tahu seseorang menemui mesej dia selepas bertahun-tahun.

"Saya merancang untuk meletakkan mesej itu di kubur ayah nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Jun 2023 @ 4:00 PM