Pengguna bermain permainan video Xbox. - FOTO AFP
Pengguna bermain permainan video Xbox. - FOTO AFP
Bernama- dpa

Washington: Syarikat teknologi Microsoft bersetuju membayar denda sebanyak US$20 juta (RM92.1 juta) bagi menyelesaikan pertuduhan bahawa syarikat itu mengumpul maklumat peribadi kanak-kanak tanpa mendapat kebenaran ibu bapa, lapor agensi berita Jerman (dpa).

Federal Trade Commission (FTC) mendakwa Microsoft mengumpul maklumat peribadi kanak-kanak yang mendaftar ke sistem permainan Xbox tanpa memberi sebarang notifikasi atau memperoleh kebenaran daripada ibu bapa mereka, dan secara haram menyimpan maklumat peribadi kanak-kanak.

FTC menyatakan tindakan Microsoft itu melanggar Akta Perlindungan Privasi Kanak-kanak Dalam Perdagangan Atas Talian (COPPA).

Microsoft dikehendaki memperkukuh perlindungan privasi bagi golongan muda yang menggunakan sistem Xboxnya.

FTC memaklumkan ia juga akan meluaskan perlindungan COPPA kepada penerbit permainan yang berkongsi data kanak-kanak dengan Microsoft.

"Perintah yang dicadangkan ini akan memudahkan ibu bapa melindungi privasi kanak-kanak mereka di Xbox dan membatasi maklumat yang boleh dikumpul dan disimpan oleh Microsoft," kata Samuel Levine, pengarah Biro Perlindungan Pengguna FTC.

"Tindakan ini juga akan merangkumi avatar kanak-kanak, data biometrik dan maklumat kesihatan tidak terkecuali dari COPPA."

Perintah ini perlu diluluskan oleh mahkamah persekutuan sebelum ia boleh dilaksanakan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Jun 2023 @ 4:28 PM