BUKU yang lewat dipulangkan. FOTO Instagram/ Perpustakaan Awam St Helena.
BUKU yang lewat dipulangkan. FOTO Instagram/ Perpustakaan Awam St Helena.
Agensi

Washington: Lelaki di California memulangkan buku yang dipinjam keluarganya dari sebuah perpustakaan, 96 tahun lalu.

Jim Perry berkata, dia memulangkan buku A Family History of the United States 1892 yang rosak dan lusuh di Perpustakaan Awam St Helena, kira-kira 32 kilometer ke barat Santa Rosa, awal bulan ini.

"Ia buku lama yang berada dalam simpanan keluarga kami selama lima generasi.

"Selepas membuat beberapa semakan, saya rasa buku ini mungkin dipinjam datuk isteri saya, John McCormick," katanya kepada Washington Post.

Perry berkata, buku itu diletakkan di dalam kotak di rumah keluarganya sejak beberapa tahun kebelakangan ini, sebelum dibawa bersamanya ketika berpindah ke Napa, pada 2015.

"Selepas menemui semula buku sejarah itu, saya memutuskan sudah tiba masanya untuk mengembalikannya kepada pemiliknya yang sah.

"Saya tidak tahu betapa istimewanya buku ini," katanya.

Sementara itu, pengarah perpustakaan, Chris Kreiden berkata, semakan pihaknya mendapati, buku itu dipinjam individu daripada keluarga isteri Perry pada 1927.

"Buku ini tertua yang pernah saya lihat," katanya.

Katanya, Perry juga tidak perlu membayar denda lewat pulang buku yang sepatutnya dipulangkan ke perpustakaan itu pada 21 Februari 1927, yang dianggarkan AS$1,700 (RM7,821.70).

"Buku ini akan disimpan dalam kotak arkib dan dipamerkan kepada masyarakat dan tujuan pemuliharaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Mei 2023 @ 11:26 AM