FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Agensi

Washington: Tiga individu maut, manakala empat lagi perlu dikeluarkan bebola mata mereka akibat ubat titis mata yang tercemar di Amerika Syarikat (AS).

Ubat titis mata yang didapati dari farmasi yang dikeluarkan oleh EzriCare dan Delsam Phama dikatakan menyebabkan jangkitan kepada sekurang-kurangnya 68 orang di 16 negeri, kata Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) pada Selasa.

Metro UK melaporkan, jumlah itu direkodkan setakat 14 Mac lalu.

Menurut CDC, tiga individu meninggal dunia, manakala lapan lagi hilang penglihatan, empat laporan enukleasi (pembedahan buang bebola mata) dan 37 pesakit dirawat di empat pusat kesihatan.

Menurutnya, majoriti pesakit dilaporkan menggunakan ubat titis mata itu sehingga menyebabkan dijangkiti pseudomonas aeruginosa, jangkitan yang tidak pernah dilaporkan di AS sebelum ini.

Gejala jangkitan mata termasuk kemerahan pada mata atau kelopak mata, dan cecair kuning, hijau atau jelas dari mata.

Pesakit juga boleh mengalami sakit mata atau ketidakselesaan, merasakan ada sesuatu di dalam mata, penglihatan kabur dan peningkatan kepekaan terhadap cahaya.

Pegawai kesihatan sedang menguji botol EzriCare Artificial Tears yang belum dibuka untuk menentukan sama ada pencemaran berlaku semasa fasa pembuatan.

Pesakit dan pembekal dinasihatkan untuk menghentikan penggunaan ubat titis mata itu sehingga CDC mengeluarkan maklumat dan panduan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mac 2023 @ 1:03 PM