PROFESOR Universiti South Florida, Joseph Dituri merancang menghabiskan 100 hari di bawah permukaan laut sedalam sembilan meter. FOTO Agensi
PROFESOR Universiti South Florida, Joseph Dituri merancang menghabiskan 100 hari di bawah permukaan laut sedalam sembilan meter. FOTO Agensi
Agensi

Tallahassee, Amerika Syarikat: Profesor Universiti Florida Selatan, Joseph Dituri merancang menghabiskan 100 hari di bawah permukaan laut pada kedalaman sembilan meter, sebagai percubaan saintifik sama ada peningkatan tekanan berterusan akan mempengaruhi badan dan mindanya.

Rekod dunia semasa bagi menghabiskan masa di bawah air dicipta pada 2014 oleh dua ahli biologi Tennessee dengan 73 hari, tetapi jika profesor berusia 55 tahun itu memenuhi matlamat ditetapkan, ia akan mengatasi rekod berkenaan.

Pada awal bulan ini, Dituri yang bergelar 'Dr Deepsea' berpindah ke Jules' Undersea Lodge di Key Largo, sebuah hotel bawah air yang mana beliau merancang untuk kekal di situ, sehingga 9 Jun depan.

Setakat ini, beliau bersama pasukan pakar perubatan dan saintis merancang menjalankan satu siri ujian untuk melihat bagaimana untuk hidup di dalam air untuk jangka masa lama dapat mempengaruhi tubuh serta minda manusia.

"Tubuh manusia tidak pernah berada di bawah air selama itu, jadi saya akan dipantau dengan teliti.

"Kajian ini akan mengkaji setiap cara perjalanan ini memberi kesan kepada tubuh saya, tetapi hipotesis saya adalah akan ada penambahbaikan pada kesihatan kerana tekanan yang meningkat," katanya dalam satu kenyataan.

Berdasarkan hipotesisnya, sel yang terdedah kepada tekanan lebih tinggi meningkat dua kali ganda dalam tempoh lima hari.

Beliau dan pasukan percaya peningkatan tekanan boleh meningkatkan usia panjang dan mencegah penyakit berkaitan penuaan.

Bagi mengelak air memasuki rumah persinggahan, udara mesti sentiasa dipam ke dalam ruang yang menghasilkan tekanan kira-kira 1.6 kali ganda daripada permukaan bumi.

Dalam tempoh 100 hari, beliau akan kerap dikunjungi pasukan perubatan yang menjalankan siri ujian termasuk panel darah, ultrabunyi dan elektrokardiogram.

Beliau juga akan menjalani ujian psikososial dan psikologi untuk memahami kesan mental kerana 'terperangkap' di dalam air untuk jangka masa lama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mac 2023 @ 3:58 PM