TRAVIS Jordan (kiri) dan Brett Ryan.
TRAVIS Jordan (kiri) dan Brett Ryan.
Agensi

Ottawa: Dua pegawai polis di Edmonton, wilayah Alberta, barat Kanada maut ditembak seorang remaja lelaki dalam kejadian pergaduhan keluarga, lapor BBC.

Polis di bandar Edmonton berkata, remaja berusia 16 tahun itu turut meninggal dunia selepas menembak diri sendiri.

Pegawai terbunuh ialah Travis Jordan, 35, yang sudah lebih lapan tahun berkhidmat dan Brett Ryan, 30 yang berkhidmat selama lebih lima tahun.

Ketua Polis Dale McFee berkata, dua pegawai itu ditembak selepas menerima panggilan mengenai pergaduhan di sebuah pangsapuri di Edmonton, kira-kira 12.47 tengah malam (waktu tempatan), pada Khamis minggu lalu.

Menurutnya, panggilan dibuat ibu suspek dan sebaik tiba, pegawai menemuinya di luar bangunan dan ketika mahu menghampiri rumah suspek, mereka ditembak beberapa kali oleh suspek yang berada di pintu.

Katanya, kedua-dua pegawai itu diberikan bantuan serta-merta dan dikejarkan ke hospital, namun disahkan meninggal dunia di hospital.

Ibu suspek berusia 55 tahun turut parah ditembak dan dibawa ke hospital untuk rawatan.

Timbalan Ketua Polis Edmonton, Devin Laforce berkata, pegawai tidak melepaskan sebarang tembakan kerana tidak menyedari remaja itu mempunyai senjata.

Katanya, suspek dan ibunya bergaduh yang menyebabkan wanita itu ditembak.

Beliau yang tidak menamakan suspek atau ibunya berkata, wanita itu parah, namun stabil.

"Berdasarkan semakan remaja itu mempunyai masalah mental tetapi tiada rekod jenayah," katanya siasatan lanjut masih dijalankan dan tidak mendedahkan jenis pistol digunakan dalam kejadian itu.

Ucapan takziah dizahirkan pasukan polis sekitar Kanada termasuk di Vancouver dan Toronto serta daripada Perdana Menteri, Justin Trudeau.

Lapan pegawai polis terbunuh semasa menjalankan tugas di Kanada dalam tempoh enam bulan lalu, termasuk berlaku di Ontario dan British Columbia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mac 2023 @ 12:58 PM