MUKA depan Majalah Time. FOTO Twitter Time
MUKA depan Majalah Time. FOTO Twitter Time
Agensi

New York: Majalah Time menamakan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky sebagai Individu Tahun 2022 kerana keberaniannya berdepan konflik perang Ukraine dan Rusia.

Editor majalah itu, Edward Felsenthal berkata, keputusan itu paling jelas dalam ingatan.

Katanya, Zelensky memberi inspirasi kepada rakyat Ukraine dan diiktiraf di peringkat antarabangsa kerana keberaniannya dalam menentang pencerobohan Rusia.

"Kejayaan Zelensky sebagai pemimpin zaman perang bergantung kepada fakta bahawa keberanian itu tersebar kepada lain," katanya.

Beliau berkata, semangat Ukraine merujuk kepada rakyat Ukraine di seluruh dunia termasuk ramai yang berjuang di belakang tabir.

Katanya, ini termasuk Ievgen Klopotenko, seorang cef yang menyediakan ribuan makanan percuma kepada warga Ukraine dan pegawai perubatan Yuliia Payevska yang ditahan Rusia sebelum dibebaskan tiga bulan selepas itu.

Pakar bedah trauma British, David Nott yang pergi ke Ukraine untuk membantu mereka yang cedera dalam perang adalah salah seorang daripada beberapa individu yang dipaparkan di muka depan majalah itu.

Wanita di Iran adalah Wira Tahun 2022 Time dan kumpulan K-pop Blackpink diiktiraf sebagai Penghibur Time Tahun 2022.

Pemain besbol Amerika Syarikat, Aaron Judge diiktiraf sebagai Atlet Terbaik dan pelakon Malaysia Michelle Yeoh sebagai Ikon Terbaik.

Pemenang tahun lalu, Elon Musk sekali lagi disenaraikan sebagai finalis berikutan kejayaan syarikat kereta elektriknya, Tesla, menjadi pembuat kereta paling berharga di dunia, pada tahun 2021.

Pengiktirafan itu diberikan kepada organisasi atau individu yang dianggap mempunyai pengaruh paling besar secara global sepanjang 12 bulan lalu.

Finalis lain yang tersenarai ialah penunjuk perasaan di Iran, pemimpin China Xi Jinping dan Mahkamah Agung AS.

Tradisi ini bermula sejak tahun 1927.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Disember 2022 @ 12:30 PM