IBU pejabat Facebook di Menlo Park, California. FOTO AFP
IBU pejabat Facebook di Menlo Park, California. FOTO AFP
AFP

New York: Pemilik Facebook, Meta akan memberhentikan 11,000 pekerja dalam apa yang dikatakan sebagai "perubahan paling sukar dalam sejarah Meta," kata bosnya, Mark Zuckerberg pada Rabu.

Beliau berkata, langkah itu adalah pengurangan 13 peratus tenaga kerja di gergasi media itu dan akan memberi kesan kepada makmal penyelidikan memfokuskan kepada metaverse dan aplikasi-aplikasi lain, termasuk Facebook, Instagram dan WhatsApp.

Industri teknologi kini mengalami kemerosotan dan beberapa firma sudah mengumumkan pemberhentian pekerja berskala besar - dengan pemilik baharu Twitter mengumumkan langkah sama minggu lalu.

"Saya mahu bertanggungjawab atas keputusan ini dan apa yang menyebabkan ia berlaku," kata Zuckerberg menerusi nota kepada pekerja.

Beliau turut mengakui bahawa langkah itu adalah sukar untuk semua orang dan memohon maaf kepada individu terjejas.

Platform yang disokong iklan seperti Facebook dan Google menerima kesan susulan langkah pengiklan yang mengurangkan kos bagi menangani inflasi dan kesan kenaikan kadar faedah.

Zuckerberg memberitahu 87,000 kakitangannya bahawa beliau menjangka peningkatan dalam e-dagang dan aktiviti dalam talian ketika pandemik akan berterusan, tetapi berkata: "Saya tersilap dan bertanggungjawab atas perkara ini."

Langkah ini juga adalah mesej kepada Wall Street, di mana prestasi lemah syarikat mendorong saham Meta menjunam sehingga 70 peratus sejak awal tahun ini.

Langkah pada Rabu itu dialu-alukan oleh pelabur dengan saham Meta menunjukkan kenaikan untuk hari itu, sehingga nama peratus menjelang sesi dagangan ditutup di New York.

Tahun lepas, Meta mengumumkan keuntungan AS$4.4 bilion pada suku tahunan ketiga, merosot 52 peratus tahun ke taun.

Kemerosotan itu walaupun platform itu mendominasi dunia dengan Facebook sahaja dikatakan merekodkan dua juta bilion yang mendaftar masuk di media sosial berkenaan setiap hari.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 November 2022 @ 9:20 AM