META Platforms Inc. FOTO AFP
META Platforms Inc. FOTO AFP
Reuters

Washington: Meta Platforms Inc (Meta.O) merancang untuk memulakan pemberhentian pekerja berskala besar, minggu ini, yang akan menjejaskan ribuan pekerja.

Memetik Wall Street Journal (WSJ) yang melaporkan perkara itu dengan ia disahkan orang yang biasa dengan isu itu berkata, pengumuman dirancang seawal Rabu ini.

Bagaimanapun, Meta enggan mengulas mengenai laporan WSJ.

Meta yang juga syarikat induk kepada Facebook pada Oktober meramalkan suku tahun yang lemah dan kos yang lebih ketara pada tahun depan.

Ia dengan penyusutan kira-kira AS$67 bilion (kira-kira RM318 bilion) daripada nilai pasaran saham Meta, menambah kepada lebih setengah trilion dolar dalam nilai yang hilang tahun ini.

Tinjauan yang mengecewakan datang ketika Meta sedang bersaing dengan pertumbuhan ekonomi global yang perlahan, persaingan daripada TikTok, perubahan privasi daripada Apple (AAPL.O), kebimbangan mengenai perbelanjaan besar-besaran ke atas metaverse dan ancaman peraturan yang sentiasa ada.

Ketua Eksekutif Mark Zuckerberg berkata, beliau menjangkakan pelaburan metaverse mengambil masa kira-kira sedekad untuk membuahkan hasil.

Sementara itu, beliau terpaksa membekukan pengambilan pekerja, menutup projek dan menyusun semula pasukan untuk mengurangkan kos.

"Pada 2023, kami akan menumpukan pelaburan kami pada sebahagian kecil kawasan pertumbuhan keutamaan tinggi.

"Jadi ini bermakna sesetengah pasukan akan berkembang dengan bermakna, tetapi kebanyakan pasukan lain akan kekal mendatar atau mengecut pada tahun depan.

"Secara agregat, kami menjangkakan untuk menamatkan 2023 sebagai sama ada saiz yang hampir sama, atau organisasi yang sedikit lebih kecil daripada kita hari ini," kata Zuckerberg.

Syarikat media sosial itu pada Jun lalu sudah mengurangkan rancangan untuk mengambil jurutera sekurang-kurangnya 30 peratus, dan Zuckerberg memberi amaran kepada pekerja untuk bersiap sedia menghadapi kemelesetan ekonomi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 November 2022 @ 10:31 AM