POLIS Stockton menayangkan rakaman video memaparkan suspek pembunuh bersiri itu. FOTO AP
POLIS Stockton menayangkan rakaman video memaparkan suspek pembunuh bersiri itu. FOTO AP
AFP

Los Angeles: Pihak berkuasa California, Amerika Syarikat (AS) menawarkan AS$125,000 (RM578,875) kepada mereka yang membantu kepada penahanan suspek berhubung lima kejadian pembunuhan.

Pegawai penyiasat mengeluarkan imej seorang suspek lelaki berhubung siri pembunuhan di Stockton yang meragut lima nyawa dalam masa kurang tiga bulan.

Mereka berkata, pembunuhan keenam yang berlaku di kawasan berdekatan di Oakland, tahun lalu juga, boleh dikaitkan, kata laporan.

Polis Stockton, Joe Silva berkata, polis mengeluarkan rakaman video seorang lelaki yang kelihatan sedikit tempang ketika dia berjalan ke beberapa pangsapuri.

"Kebanyakan mangsa bersendirian di kawasan gelap sama ada lewat petang atau awal pagi.

"Individu dalam video itu dirakamkan pada kamera berhampiran dengan beberapa tempat kejadian jenayah.

"Ganjaran sebanyak AS$125,000 (RM578,875) ditawarkan untuk sebarang maklumat yang membawa kepada penangkapan dan sabitan terhadap pembunuh," katanya.

Katanya, pembunuhan itu menyebabkan masyarakat tempatan sangat prihatin dan polis meningkatkan rondaan petang dan awal pagi.

"Kami meminta masyarakat peka dengan persekitaran masing-masing.

"Jika anda perlu keluar pada waktu malam atau awal pagi, cuba bawa rakan atau ahli keluarga serta mengelak kawasan gela," katanya.

Stockton, sebuah bandar yang mempunyai populasi kira-kira 350,000 orang terletak 65 kilometer di selatan ibu negeri California, Sacramento.

Sementara itu, Ketua Polis Stockton, Stanley McFadden memberitahu pemberita Selasa lalu, lima kejadian tembakan maut di satu kawasan di Stockton antara 8 Julai hingga 27 September mempunyai beberapa persamaan.

Katanya, tembakan pada April 2021 di Oakland, juga sedang disiasat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Oktober 2022 @ 11:03 AM