FOTO fail menunjukkan penghasilan vaksin Covid-19 keluaran Pfizer. FOTO AP
FOTO fail menunjukkan penghasilan vaksin Covid-19 keluaran Pfizer. FOTO AP
AFP

Washington: Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) Amerika Syarikat (AS) memberi kelulusan vaksinasi Covid-19 terbaharu keluaran Moderna dan Pfizer-BioNTech khusus bagi menangani varian Omicron.

Kedua-dua syarikat itu menyatakan vaksin itu tersedia untuk diedarkan di AS seawal minggu depan.

Perkembangan terbaharu itu memberi sinar harapan dalam membendung gelombang baharu penularan yang ditakuti pada musim sejuk ini.

Dua suntikan penggalak baharu itu diluluskan untuk individu berusia 12 tahun ke atas untuk suntikan Pfizer, manakala Moderna pula bagi 18 tahun ke atas.

Pesuruhjaya FDA, Robert Califf berkata, vaksin generasi baharu yang dipanggil bivalen ini melindungi daripada kedua-dua jenis asal Covid dan keturunan BA.4 dan BA.5, subvarian Omicron yang menyumbang kira-kira 90 peratus daripada semua kes baharu di AS.

"Walaupun lonjakan Covid-19 semasa semakin berkurangan, diramalkan kita kemungkinan akan memasuki lonjakan lain kerana banyak menghabiskan masa dalam rumah pada musim luruh dan sejuk ini.

"Jadi, dos penggalak terbaharu ini memberikan kita peluang untuk menangani perkara ini," katanya kepada pemberita.

Katanya, FDA masih mengesyorkan orang ramai mendapatkan vaksin asal untuk menerima asas tindak balas imun wabak itu.

Berbeza dengan varian Alpha dan Delta, yang akhirnya berkurangan, Omicron dan subvariannya mendominasi jangkitan di seluruh dunia pada tahun 2022.

Untuk rekod, AS masih merekodkan kira-kita 80,000 kes baharu dan 400 kematian setiap hari akibat Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 September 2022 @ 11:44 AM