Reuters

Washington: Moderna menyaman Pfizer dan rakan kongsinya dari Jerman, BioNTech pada Jumaat kerana pelanggaran paten dalam pembangunan vaksin Covid-19 yang diluluskan di Amerika Syarikat (AS) dengan mendakwa mereka meniru teknologi dibangunkan Moderna bertahun-tahun sebelum penularan wabak itu.

Moderna yang menuntut ganti rugi yang tidak ditentukan memfailkan tuntutan saman itu di Mahkamah Daerah AS di Massachusetts dan akan difailkan juga di Mahkamah Wilayah Duesseldorf di Jerman, kata Moderna dalam kenyataan media.

"Kami memfailkan tindakan undang-undang ini untuk melindungi teknologi inovatif mRNA yang kami rintis dengan pelaburan berbilion dolar dalam mencipta dan dipatenkan sepanjang dekad sebelum pandemik Covid-19," kata Ketua Eksekutif Moderna Stephane Bancel dalam siaran media itu.

Moderna Inc dan perkongsian Pfizer Inc dan BioNTech SE adalah dua daripada kumpulan pertama yang membangunkan vaksin Covid-19.

Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) Amerika Syarikat (AS) memberikan kebenaran penggunaan kecemasan untuk vaksin Covid-19 terlebih dahulu kepada Pfizer/BioNTech pada Disember 2020, seminggu kemudian kepada Moderna.

Vaksin Moderna - produk komersil tunggalnya - menghasilkan pendapatan USD10.4 bilion (RM46.47 bilion) tahun ini manakala vaksin Pfizer membawa masuk kira-kira USD22 bilion (RM98.3 bilion).

Dalam pada itu, Pfizer berkata, syarikat itu yakin dengan harta inteleknya dan akan mempertahankan dakwaan Moderna itu.

"Kami terkejut dengan litigasi ini memandangkan vaksin Covid-19 adalah berdasarkan teknologi mRNA dimiliki BioNTech dan dibangunkan bersama BioNTech dan Pfizer," kata jurucakap Pfizer dalam satu kenyataan melalui e-mel.

BioNTech turut menyifatkan tuntutan mahkamah itu sebagai menyedihkan dan mengisytiharkan penghasilan vaksin itu adalah asli milik mereka.

"Kami akan mempertahankan semua dakwaan pelanggaran paten ini," kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

Baru berusia sedekad, Moderna, yang berpangkalan di Cambridge, Massachusetts, menjadi inovator dalam teknologi vaksin mRNA dalam membangunkan vaksin Covid-19.

Moderna berkata, tuntutan mahkamahnya tidak bertujuan untuk menghalang orang ramai daripada mendapatkan vaksin dan mengulangi ikrarnya untuk tidak menguatkuasakan paten Covid-19 di 92 negara berpendapatan rendah dan sederhana.

Namun Moderna berkata, pihaknya menjangkakan syarikat seperti Pfizer dan BioNTech menghormati hak harta intelek mereka dan menuntut bayaran royalti berdasarkan jualan selepas 8 Mac 2022, tidak termasuk jualan kepada AS dan negara berpendapatan rendah.

Vaksin Moderna Covid-19, gambar fail. FOTO AP
Vaksin Moderna Covid-19, gambar fail. FOTO AP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Ogos 2022 @ 12:05 PM