GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
AFP

San Francisco: Pemilik Facebook Meta berkata, pihaknya sudah 'menendang' satu kumpulan antivaksin paling berpengaruh di Amerika Syarikat (AS) dari rangkaian media sosial kerana menyebarkan maklumat salah mengenai Covid-19.

Tindakan itu menyebabkan The Children's Health Defense (CHD), yang selama ini banyak mengkritik vaksin Covid-19 menuduh Meta menyekat hak kebebasan bersuara.

"Tindakan Facebook menunjukkan usaha untuk menutup semua kritikan terhadap dasar kerajaan yang zalim," kata pengasas CHD, Robert Kennedy Jr, anak saudara kepada mendiang presiden John F. Kennedy dalam satu kenyataan.

Jurucakap Meta, Aaron Simpson memberitahu AFP, akaun kumpulan itu di Facebook dan Instagram ditutup pada Rabu.

Pengharaman itu dilakukan dibuat selepas kumpulan terbabit berulang kali melanggar peraturan Meta.

CHD berkata, akaun sosialnya mempunyai ratusan ribu pengikut dan tindakan Meta itu sangat mengejutkan.

Dalam satu kenyataan, kumpulan itu berkongsi tangkap layar menunjukkan mesej yang menyatakan akaun itu digantung kerana melanggar dasar Meta mengenai 'maklumat salah yang boleh membawa kepada bahaya dunia sebenar'.

CHD menegaskan pengharaman itu boleh dikaitkan dengan tuntutan mahkamah yang difailkan terhadap Meta yang menuduh gergasi teknologi itu melanggar hak kebebasan bersuara dengan bergantung pada Pusat Kawalan Penyakit AS berhubung maklumat Covid-19 yang disokong secara saintifik.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Ogos 2022 @ 8:40 AM