KERETA diselaputi ais ketika di atas kapal dalam  perjalanan dari Laut Jepun ke Russia.
KERETA diselaputi ais ketika di atas kapal dalam perjalanan dari Laut Jepun ke Russia.
Agensi

Moscow: Puluhan kereta diselaputi ais tebal kerana keadaan cuaca buruk berlaku sepanjang perjalanan dari Laut Jepun ke Russia.

Keadaan angin dan sejuk luar biasa itu menyaksikan kawasan pelabuhan di bandar Vladivostok, mencecah negatif 19 darjah Celsius.

Cuaca ekstrem itu menyebabkan kereta Toyota dan Honda dilitupi ais setebal lebih 15 sentimeter, ketika berada di atas kapal pengangkut kargo, Sun Rio Ro-Ro.

Kereta terpakai Jepun popular di Russia hingga merancakkan pasaran eksport merentasi Laut Jepun, walaupun kedudukan kerusi pemandu adalah berbeza untuk dua negara itu.

Ia adalah perkara biasa bagi kenderaan tiba di negeri itu ketika musim sejuk.

Petugas biasanya akan memecahkan ais menggunakan pelbagai peralatan sebelum memunggahnya keluar dari kapal.

Kapten laut tempatan, Pyotr Osichansky, 72, berkata, keadaan kenderaan beku itu biasa kerana laut akan bergelora dan berangin pada Disember.

"Air laut memercik ke atas kapal dan bertukar menjadi ais. Tahun ini angin lebih kuat daripada biasa," katanya.

Ramai orang keluar menyaksikan kereta diselaputi ais itu diangkat dari kapal berdaftar, Panama.

"Kita tidak tahu jenis kenderaan itu apabila sudah diseliputi penuh dengan ais," kata seorang individu seperti dilaporkan Mirror.

The Weather Company meramalkan, United Kingdom juga akan dilanda suhu sejuk ekstrem sehingga 25 hari lagi.

Suhu dijangka boleh mencecah serendah negatif 12 darjah Celsius pada Januari, selepas malam Tahun Baharu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Disember 2021 @ 6:30 AM