Instagram turut perkenal ciri ‘rehat’ untuk remaja. - FOTO Agensi
Instagram turut perkenal ciri ‘rehat’ untuk remaja. - FOTO Agensi
AFP

San Francisco: Instagram memperketat perlindungan kepada remaja, sehari sebelum pendengaran Senat mengenai sama ada ia adalah "toksik" kepada pengguna muda.

"Setiap hari, saya melihat impak positif oleh Instagram kepada orang muda di mana-mana. Saya mahu memastikan ia kekal begitu, bermakna mengutamakan keselamatan mereka di Instragram," kata ketua eksekutifnya, Adam Mosseri dalam satu mesej.

Syarikat induk Instagram, Meta, yang turut menyelia Facebook, sedang berdepan krisis reputasi yang serius selepas seorang pemberi maklumat membocorkan sejumlah besar dokumen dalaman yang menunjukkan eksekutif mengetahui risiko laman berkenaan kepada kesejahteraan remaja, yang mendorong Amerika Syarikat (AS) memperbaharui desakan bagi peraturan.

Mosseri akan memberi keterangan esok pada perbicaraan jawatankuasa Senat bertajuk "Melindungi Kanak-kanak Dalam Talian: Instagram dan Pembaharuan untuk Pengguna Muda."

"Selepas laporan mengejutkan mengenai kesan toksik Instagram, kami ingin mendengar terus daripada kepemimpinan syarikat, mengapa ia menggunakan algoritma yang kuat, yang menolak kandungan berbahaya kepada kanak-kanak, yang membawa mereka ke dalam situasi sukar, selain apa yang akan dilakukan untuk menjadikan platfrom itu lebih selamat," kata ahli Demokrat, Senator Richard Blumenthal.

Mosseri berkata, Instagram akan lebih tegas mengenai apa yang akan disyorkan kepada pengguna remaja dan akan menghalang orang lain daripada memetik nama pengguna remaja yang tidak mengikuti mereka di platform itu.

Katanya, Instagram juga akan mula "mendorong" remaja ke arah topik baharu jika ada topik difikirkan mereka buat seketika dan mencadangkan mereka berehat jika sudah menghabiskan banyak masa di platform itu.

"Jika seseorang sudah melihatnya dalam satu tempoh tertentu, kami akan meminta mereka untuk berehat daripada Instragram," katanya.

Instagram memaklumkan, ciri cadangan rehat itu dilancarkan di Australia, Britain, Kanada dan AS, serta akan diperluas ke negara lain awal tahun depan.

Platform itu juga memperkenalkan hab pendidikan untuk ibu bapa, bagi "membantu mereka lebih terbabit dengan pengalaman remaja" dan alat untuk mereka menetapkan had masa yang boleh dihabiskan oleh anak-anak mereka dalam aplikasi, kata Mosseri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Disember 2021 @ 7:53 PM